SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menggesa agar tiada pihak cuba mengeruhkan keadaan atau mengelirukan orang ramai berhubung pelaksanaan Ops Gasak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bermula sejak 1 Mei lalu.
Exco Kepenggunaan negeri, S Veerapan menegaskan bahawa operasi tersebut bukan bertujuan untuk memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG), sebaliknya bagi memastikan subsidi itu disalurkan kepada pengguna yang benar-benar layak.
"Saya mohon agar tiada pihak yang membuat tafsiran sendiri atau mengelirukan rakyat sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna dan peniaga.
"Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjaga kepentingan pengguna serta peniaga kecil dan sederhana, selain memastikan subsidi digunakan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekeliruan yang timbul susulan pelaksanaan Ops Gasak yang menyasarkan penyelewengan LPG bersubsidi.
Menurutnya, terdapat pihak yang cuba membangkitkan kebimbangan kononnya subsidi akan ditarik balik, sedangkan peraturan mengenai simpanan LPG telah dikuatkuasakan sejak 2021.
"Berdasarkan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, mana-mana premis perniagaan yang menyimpan lebih daripada tiga tong LPG (melebihi 42 kilogram) perlu mendapatkan permit barang kawalan berjadual.
"Ini bukan dasar baharu. Justeru, peniaga restoran dan pemilik premis makanan kecil yang menggunakan LPG bersubsidi dalam had ditetapkan tidak perlu risau kerana mereka masih layak menerima subsidi,” jelasnya.
Pada masa sama, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya langkah penguatkuasaan bagi memastikan LPG bersubsidi tidak disalah guna atau diseleweng oleh sektor komersial mahupun sindiket.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui wujud kebimbangan dalam kalangan rakyat berhubung kesan pelaksanaan Ops Gasak terhadap harga makanan.
"Pendekatan kerajaan adalah menggalakkan peniaga yang memerlukan LPG dalam jumlah besar untuk mengemukakan permohonan. Ini penting bagi membolehkan data keperluan sebenar dikumpulkan dan penyelesaian yang lebih adil dicapai.
"Seiring dengan strategi kerajaan Persekutuan, subsidi mesti disalurkan secara bersasar dan bukan secara pukal kepada semua jenis perniagaan tanpa had. Ini bertujuan mengawal beban fiskal negara dan memastikan subsidi terus dinikmati oleh rakyat yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Veerapan turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan terus bekerjasama rapat dengan KPDN bagi memastikan maklumat yang tepat dan jelas diberikan kepada semua pihak, khususnya peniaga dan pengguna, agar tidak timbul kekeliruan mengenai pelaksanaan Ops Gasak.