SEREMBAN – Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Negeri Sembilan 2025 mencatatkan peningkatan apabila 90.65 peratus calon lulus, manakala 1,211 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A.
Mata pelajaran itu ialah Al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, pencapaian Gred Purata Skor (GPS) secara keseluruhan ialah 1.76 mata berbanding 1.77 mata pada 2024.
Menurutnya, prestasi paling menyerlah direkodkan dalam subjek berbentuk amali dan lisan.
“Bagi subjek Penghayatan Cara Hidup Islam, GPS dicatatkan pada 1.04 dengan 96.63 peratus calon memperoleh Gred A.
“Subjek Amali Solat pula merekodkan GPS 1.07 dengan 94.46 peratus mendapat Gred A, manakala Al-Quran mencatatkan GPS 1.23 dengan 80.11 peratus calon memperoleh Gred A,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Bahasa Arab turut menunjukkan lonjakan positif apabila 1,345 calon berjaya meraih Gred A, meningkat berbanding pencapaian pada 2024.
Ujarnya, sekolah terbaik UPKK Negeri Sembilan ialah Sekolah Agama Rakyat Al-Ehsaniyah, KAFA Tahfiz Al-Mustaffa dan Kelas Agama Petang Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2.
Selain itu katanya, secara keseluruhan pertambahan signifikan jumlah calon tidak menjejaskan kualiti pencapaian.
“Sebaliknya, keputusan ini memperkukuh kedudukan program KAFA sebagai platform asas pembinaan generasi yang kukuh penguasaan al-Quran, mantap amali ibadah serta berdaya saing dalam penguasaan ilmu.
“JHEAINS komited untuk terus memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran KAFA secara berfokus dan berimpak tinggi selaras dengan agenda pembangunan pendidikan Islam negeri,” katanya.