MELAKA – Isu kebajikan serta jaminan masa depan pekerja ekonomi gig kini diberi perhatian lebih serius menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Gig Digital Malaysia (LEAD) dan World Youth Foundation (WYF).
Kerjasama strategik itu dilihat sebagai langkah progresif dalam memperkukuh pembelaan terhadap pengamal media bebas, pemandu e-hailing, penghantar p-hailing serta penggiat ekonomi gig, khususnya dalam kalangan belia yang memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi digital negara.
Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, persefahaman yang dimeterai itu bukan sekadar formaliti, sebaliknya menjadi wadah untuk mengangkat suara golongan belia dalam sektor gig ke peringkat lebih tinggi termasuk antarabangsa.
“Kerjasama ini memberi penekanan kepada usaha memperkasa pemain sektor gig supaya isu kebajikan serta kepentingan mereka dapat diselaraskan secara lebih sistematik dan diketengahkan kepada pihak berkepentingan.
“MoU ini juga berfungsi sebagai saluran yang menghubungkan aspirasi anak muda tempatan dengan jaringan komuniti global,” katanya selepas pelancaran rasmi Pertubuhan Tenaga Gig Melaka (TENAGA Gig) pada Selasa.
Perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Masjid Sayyidina Ali di sini.
Turut hadir Pengerusi Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat; Presiden Tenaga Gig Melaka, Amelia Tamby; serta Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Mohd Kelana Juid.
Mohd Ridhwan menambah, pendekatan itu turut membuka ruang kepada belia untuk menyumbang idea, menampilkan inovasi serta mengambil bahagian dalam inisiatif pembangunan di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, antara syarikat yang memberi sokongan kepada program tersebut ialah Mamee-Double Decker, Nasi Beriani Haji Tamby dan Grab Malaysia.
Terdahulu, Mohd Ridhwan mewakili WYF menandatangani dokumen persefahaman tersebut bersama Presiden LEAD, Abdul Hakim Abdul Rani.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan kad keahlian secara simbolik kepada tiga anggota terawal sebagai permulaan usaha memperkukuh jaringan komuniti ekonomi gig di negeri ini.
Dalam pada itu, bersempena Ramadan, Program Agihan Bubur Lambuk turut dilaksanakan di masjid berkenaan menerusi kerjasama PENDIKA, WYF dan LEAD Malaysia.
Sebanyak 10 kawah bubur lambuk disediakan secara gotong-royong membabitkan jawatankuasa masjid, pelajar dan pensyarah Kolej Komuniti Jasin, pengamal media serta penduduk setempat.
Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk kemudian diagihkan kepada orang ramai, pelajar sekolah serta pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing yang hadir.