JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang terbabit dalam kegiatan eksploitasi kerja paksa menerusi dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 8 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi dijalankan antara jam 11 pagi hingga 11 malam oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Jelas beliau, hasil operasi tersebut menyaksikan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 30 hingga 49 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan migran bagi tujuan eksploitasi kerja paksa.
"Dalam serbuan yang sama, empat wanita warga Myanmar berusia antara 21 hingga 26 tahun turut berjaya diselamatkan selepas dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa.
"Turut dirampas ialah satu mangga pintu bersama anak kunci serta satu unit tripod yang dipercayai digunakan untuk mengurung dan mencederakan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sindiket berkenaan memperdaya mangsa dengan tawaran pekerjaan sebagai pelayan restoran di Malaysia dengan gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
"Siasatan mendapati mangsa dibawa masuk ke negara ini melalui Rantau Panjang, Kelantan dengan menyeberangi sungai sebelum dihantar ke Senai melalui jalan darat dan dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis hiburan,” ujarnya.
Tambah beliau, mangsa dipercayai telah bekerja selama kira-kira dua bulan tanpa sebarang bayaran gaji kononnya bagi melunaskan kos kemasukan ke Malaysia yang dikenakan sebanyak RM20,000.
"Mereka ditempatkan di asrama khas yang pintunya sentiasa dikunci dan pergerakan dikawal ketat oleh suspek. Mangsa turut diugut dengan video penderaan serta akan dicederakan jika mempertikaikan soal bayaran,” jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.
"Dua daripada suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 30 Mei (Jumaat) di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
"Polis Johor komited membanteras sebarang kegiatan penyeludupan migran dan eksploitasi kerja paksa serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.