Rogol anak saudara hingga hamil, lelaki warga asing diberkas polis

Iklan
Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang didakwa merogol anak saudaranya sendiri terbongkar apabila mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil.

TAWAU - Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang didakwa merogol anak saudaranya sendiri terbongkar apabila mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil, sebelum suspek diberkas polis kurang 24 jam selepas laporan dibuat pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 52 tahun selepas dimaklumkan oleh mangsa yang juga anak saudaranya mengenai kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah taman ketika mangsa berada di kediaman wanita terbabit.

"Mangsa mendakwa telah dirogol oleh seorang lelaki yang juga adik kepada suami wanita berkenaan.

Iklan

"Susulan itu, mangsa dibawa ke sebuah klinik oleh ibu saudaranya bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah berjaya menahan suspek tersebut.

Iklan

"Suspek yang juga warga asing berusia dalam lingkungan 40-an ditahan di sebuah bilik sewa di sekitar bandar Tawau, kira-kira jam 3.50 petang, semalam," katanya.

Tambah Jasmin lagi, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seksual, khususnya melibatkan ahli keluarga sendiri.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta segera melaporkan sebarang perlakuan jenayah kepada pihak berkuasa," katanya.