Salah guna dana MINDEF: Pegawai kanan pengurusan tertinggi ATM dirakam keterangan

Iklan
Seorang pegawai kanan pengurusan tertinggi ATM dirakam keterangan oleh SPRM pada Ahad.

PUTRAJAYA - Seorang pegawai kanan pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad bagi siasatan berkaitan penyalahgunaan dana Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, individu terbabit dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Tiada tangkapan dijalankan setakat ini dan beliau tiba untuk direkod keterangan kira-kira jam 11 pagi.

"Sebarang makluman atau perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak," katanya pada Ahad.

Iklan

Katanya, buat masa ini hanya individu terbbait dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan siasatan yang dijalankan.

Azam Baki

Iklan

"Cukup sekadar saya nyatakan bahawa beliau dipanggil untuk membantu selesaikan satu isu ataupun dakwaan penyelewengan yang menggunakan dana," katanya.

Media sebelum ini melaporkan siasatan berkaitan dakwaan salah guna dana MINDEF yang dijalankan SPRM dijangka merungkai pembabitan seorang pegawai pengurusan tertinggi ATM.

Menurut sumber, individu terbabit kini berada dalam siasatan SPRM dan siasatan berkenaan sudah berada di peringkat akhir.

Dalam pada itu, Azam Baki turut mengesahkan, pihaknya ada menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan ATM berkaitan kes itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung siasatan yang dijalankan selain memaklumkan proses siasatan kini sudah berada di peringkat akhir.

Menurutnya, siasatan membabitkan dakwaan salah guna dana awam itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu diambil tindakan tegas sekiranya wujud elemen kesalahan.

Azam berkata, kertas siasatan hampir dilengkapkan dan akan dikemukakan dengan cadangan pertuduhan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sekiranya cadangan pertuduhan itu dipersetujui oleh Peguam Negara, individu terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan.

Menurutnya lagi, siasatan akan dimulakan terhadap individu berkenaan terlebih dahulu sebelum disusuli dengan siasatan lain yang berkaitan.

Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Tegasnya, siasatan dijalankan bagi memastikan sebarang salah guna kuasa dan dana awam ditangani secara berlandaskan undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM mendapati, terdapat aktiviti penerimaan rasuah secara terancang berlaku dalam kalangan pegawai tentera.

Sumber memaklumkan, siasatan SPRM turut mengesan beberapa pegawai tentera dipercayai memainkan peranan dalam kes berkenaan.

Difahamkan, SPRM ketika ini memberi tumpuan untuk menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian rasuah yang berlaku dalam agensi terbabit.