Pasangan kekasih ditemukan maut dalam kereta

Iklan
Mayat pasangan kekasih ditemukan di sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan Bandar Sejati Walk, Batu 7, Sandakan.

SANDAKAN - Sepasang kekasih ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan Bandar Sejati Walk, Batu 7, di sini, pada pagi Ahad.

Mayat lelaki berusia 18 tahun dan kekasihnya berusia 17 tahun itu ditemukan oleh bapa salah seorang mangsa dalam keadaan duduk di bahagian penumpang belakang kenderaan kira-kira jam 8.26 pagi.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa yang terlibat dipercayai mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan duduk di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan.

Iklan

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua tingkap kenderaan tertutup rapat dan berkunci, manakala tiada kehilangan barang berharga dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, siasatan awal juga mendapati kedua-dua mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing sejak Jumaat lalu.

Iklan

“Bagaimanapun, bapa kepada salah seorang mangsa menemui kenderaan miliknya di lokasi berkenaan sebelum menemukan pasangan tersebut di dalam kereta.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh kedua-dua mayat mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan setakat ini siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat,” katanya.

Ramasamy berkata, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.