Peniaga kecil masih keliru penggunaan LPG komersial

Iklan
Kebanyakan peniaga kurang peka berkaitan LPG komersial kepada peniaga kecil.

KUALA TERENGGANU - Peniaga kecil melahirkan kebimbangan terhadap langkah mewajibkan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) komersial.

Menurut Muhammad Zulhazmi Zulkifli, 29, penggunaan gas komersial boleh menyebabkan kenaikan kos dan memberi tekanan besar kepada mereka yang bergantung kepada harga silinder subsidi itu sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini satu tong LPG subsidi sekitar RM27 hingga RM30, tapi LPG komersial dijangka harga di antara RM65 hingga RM70.

"Macam saya guna satu tong gas setiap minggu dengan anggaran RM120 sebulan, lepas ni kos gas memasak saya juga boleh jadi naik lebih tiga kali ganda nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dia yang sudah empat tahun berniaga ayam gunting di Pantai Batu Buruk di mungkin terpaksa menaikkan harga barangan jualan.

"Kami risau pelanggan lari kalau naikkan harga. Sekarang jual RM4 hingga RM10 satu bekas ayam gunting, kalau naik harga nanti orang mungkin tak beli.

Iklan

"Kami harap kerajaan kaji semula keputusan ini. Ramai peniaga kecil macam saya bergantung kepada jualan harian. Sekarang pun hanya yang ada modal dan pelanggan tetap saja mampu teruskan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan pelaksanaan gas komersial tidak melibatkan perniagaan kecil dan masih boleh menggunakan gas subsidi.

Tinjauan Sinar Harian di KOTA BHARU pula mendapati golongan peniaga kecil makanan masih belum bersedia melaksanakan peralihan kepada penggunaan LPG komersial 14 kilogram yang diwajibkan sejak 1 Mei lalu.

Kebanyakan peniaga kecil masih menggunakan gas subsidi domestik kerana tidak mampu menampung kenaikan kos mendadak yang bakal ditanggung sekiranya peralihan itu dikuat kuasa secara menyeluruh selain berdepan risiko gulung tikar.

Peniaga keropok lekor, Mohd Fazli Mat Rani, 36, berkata, walaupun sudah mendengar cadangan itu sejak lama, ramai peniaga masih berharap gas subsidi domestik dibenarkan untuk penggunaan kecil-kecilan.

"Biasanya saya tak pernah guna lebih tiga tong sebulan, jadi masih dalam kategori layak guna gas subsidi.

"Tapi kalau dikuatkuasakan kepada semua peniaga kecil, kos bahan mentah memang akan melonjak ketara,” katanya.

Menurut Mohd Fazli, sejak larangan penggunaan minyak masak paket untuk perniagaan dikuat kuasa, dia sudah tertekan dengan peningkatan kos.

"Sekarang jual RM6 sebekas iaitu 10 batang keropok, tapi gas sebulan pun dah cecah RM500 hingga RM600.

"Kalau harga gas komersial RM70 setong, naik dua hingga tiga kali ganda daripada biasa, memang tak masuk akal.

"Takkan nak jual keropok RM2 sebatang? Minyak masak pun dah mahal, gaji pekerja minimum, bekas plastik pun RM4.30 sepeket. Takkan nak goreng pakai dapur arang semula,” katanya.

Di SEREMBAN pula, peniaga makanan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelaksanaan penguatkuasaan LPG komersial itu.

Peniaga nasi bajet, Nor Haliza Mohd Nordin, 48, menyifatkan keadaan semasa itu sebagai situasi parah selepas tekanan bahan mentah dan kini dibebani pula dengan pelaksanaan LPG komersial.

Menurutnya, perbezaan ketara antara LPG subsidi dengan LPG komersial itu memungkinkan dia tidak dapat lagi menjual nasi bajet dengan harga RM5.

"Kalau restoran pun terkesan dengan kos, apatah lagi kami yang meniaga di tepi jalan yang berniaga sekadar cukup makan.

"Kalau naik sikit tak apa, ini naik sekali ganda, mungkin nasi bajet terpaksa dijual kepada RM7, cuma risau pelanggan pula lari sebab kita jual mahal,” katanya.

Dia mendakwa pelaksanaan itu dilakukan secara mendadak tanpa peniaga diberikan maklumat jelas mengenainya.

"Saya pun tak tahu beli kat mana. Kedai biasa pun tak nampak jual LPG komersial. Informasi mengenai perkara ini pun saya tahu melalui media sosial,” katanya.