Aman Seterra Sanctuary Langkawi tarik minat Jepun, Indonesia

Iklan
Gambar ilustrasi Aman Seterra Sanctuary di Langkawi. (ihsan BDB)

ALOR SETAR - Projek Aman Seterra Sanctuary yang dibangunkan di Langkawi masih di peringkat awal untuk mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP).

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, projek perkampungan persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam pertama di dunia itu bakal menjadikan Langkawi sebagai pusat tumpuan baharu dalam sektor penjagaan warga emas bertaraf global.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada RUKUN Senior Living dari Indonesia dan Well Aging Japan Association (WAJA), yang dimeterai sewaktu Ekspo Dunia Osaka 2025 baru-baru ini.

Raja Shahreen pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30 di Alor Setar pada Khamis.

"Kerja-kerja awal sedang dijalankan dan kami akan menyerahkan permohonan KM kepada MPLBP dalam masa terdekat. Ini adalah fasa permulaan sebelum pembangunan fizikal dimulakan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30, di sini pada Khamis.

Iklan

Raja Shahreen berkata, Aman Seterra Sanctuary dijangka menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan komuniti warga emas antarabangsa khususnya di rantau ASEAN selari dengan trend penuaan global yang semakin ketara.

"Apa yang menarik, walaupun projek ini belum dibuka secara rasmi, kita sudah menerima minat yang tinggi, khususnya dari Jepun dan Eropah. Mereka telah menyatakan komitmen awal kerana tertarik dengan konsep hospitaliti Islamik yang ditawarkan di Langkawi," jelasnya.

Iklan

Menurutnya lagi, kos penyelenggaraan penjagaan pesakit di negara-negara seperti Jepun amat tinggi, dan kemudahan di Aman Seterra Sanctuary dilihat sebagai alternatif lebih ekonomik namun berkualiti tinggi.

"Kerajaan Jepun membelanjakan hampir satu juta dolar setahun bagi pengurusan pesakit demensia. Maka, mereka melihat potensi besar untuk membawa warga emas ke sini yang mana kosnya lebih rendah tetapi selesa dan berkualiti," ujarnya.

Raja Shahreen mengakui antara cabaran utama ketika ini adalah mempercepatkan proses kelulusan KM dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan Persekutuan agar projek ini dapat direalisasikan secepat mungkin.

"Kita perlu bergerak pantas. Ini bukan sahaja penting bagi BDB tetapi juga kepada penduduk Langkawi serta ekonomi negara secara keseluruhan.

Ia sejajar dengan lanskap penuaan global yang mencatat peningkatan ketara sekali gus menjadikan BDB berada pada kedudukan tepat untuk memasuki pasaran rantau ASEAN," katanya lagi.

Jelas beliau, sekiranya sambutan yang diterima memberangsangkan, projek seumpamanya dijangka akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain pada masa akan datang.

Pada 17 April, BDB melalui anak syarikat milik penuhnya, Aman Lagenda Sdn Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dan perjanjian pemegang saham bersama Seterra Holdings bagi pembangunan Aman Seterra Sanctuary di kawasan seluas lima hektar di Kuala Temoyong, Langkawi.

Aman Seterra Sanctuary juga dijangka dapat meningkatkan potensi pelancongan perubatan, khususnya pesara dari luar negara, seperti Jepun, Australia, Singapura, United Kingdom (UK) dan Eropah.