Harimau jantan masuk perangkap selepas enam bulan mengganas

Iklan
Anggota Perhilitan Perak melihat harimau yang ditangkap dalam perangkap dipasang sebelum ini.

SUNGAI SIPUT - Selepas enam bulan mencemaskan penduduk dan memakan ternakan, seekor harimau jantan seberat 90 kilogram akhirnya berjaya ditangkap dalam operasi khas di Kampung Perlop 1 di sini pada Khamis.

Haiwan pemangsa berusia 1 tahun 10 bulan itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, kira-kira 700 meter dari kawasan penempatan penduduk sekitar jam 4 pagi.

Iklan
Iklan

Bekas Ketua Kampung Perlop 1, Khairol Ariffin Abdullah Jalil berkata, haiwan sama dikesan berkeliaran di kawasan kampung sejak penghujung tahun lalu menyebabkan penduduk trauma dan takut untuk ke kebun dan ladang sawit.

"Kemunculan harimau itu telah mengganggu kehidupan penduduk termasuk mengakibatkan kerugian besar kepada penternak.

Iklan

"Tak kurang 16 ekor lembu penduduk telah dibaham. Malah, ada penduduk yang mendengar ngauman kuat dan terserempak sendiri dengan harimau ini di tepi jalan kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kehadiran harimau itu dikesan melalui jejak tapak kaki dan kesan serangan di sekitar kawasan kampung dan ladang kelapa sawit.

Iklan

"Ramai penduduk takut keluar ke kebun kerana risau diserang. Kebanyakan daripada kami bergantung kepada hasil kebun untuk menyara hidup. Bila ada gangguan macam ini pendapatan pun terjejas," katanya.

Menurut Khairol Ariffin, usaha menangkap harimau telah digerakkan sejak awal melalui kerjasama penduduk dan Perhilitan termasuk memasang perangkap di beberapa lokasi strategik.

"Pada 26 April lepas, perangkap pernah mengena, tetapi yang masuk masa itu adalah seekor harimau kumbang. Kali ini, syukurlah yang masuk memang harimau belang yang penduduk takutkan selama ini," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, operasi tangkapan melibatkan lebih 20 anggota Perhilitan termasuk dari Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NRWC).

"Harimau ini dalam keadaan sihat dan akan dipindahkan ke NRWC di Sungkai untuk dijadikan induk pembiakan.

"Langkah ini juga sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan spesies harimau belang di Malaysia," katanya.

Yusof berkata, setakat ini tiada maklumat yang menunjukkan kehadiran harimau lain di kawasan sekitar.

Bagaimanapun pihaknya tidak menolak ancaman sama berlaku berikutan sifat semula jadi haiwan liar seperti harimau yang berkeliaran jauh.

"Tidak mustahil akan ada yang datang dari kawasan berhampiran seperti dari Kinta atau Gunung Korbu.

"Dalam hal ini, kita akan terus pantau dan jika ada aduan baharu daripada penduduk, Perhilitan akan segera bertindak," katanya.