IPOH - Kes motosikal yang beroperasi tanpa sistem brek belakang dikenal pasti antara kesalahan paling berbahaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dalam Operasi Pengarah yang dilaksanakan di sini pada Khamis.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, penemuan tersebut membimbangkan kerana brek merupakan komponen keselamatan asas yang berperanan penting terutama dalam situasi kecemasan di jalan raya.
"Ada kes yang bagi saya menakutkan apabila kita dapati motosikal yang disita tidak mempunyai brek belakang.
"Itu amat bahaya sekali terutama apabila berlaku kecemasan seperti orang atau haiwan melintas, kenderaan di hadapan berhenti secara mengejut atau situasi tidak dijangka lain," katanya kepada pemberita.
Operasi yang dilaksanakan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek di Jalan Sultan Azlan Shah itu memfokuskan kepada penunggang motosikal sempena musim cuti persekolahan, melibatkan 33 anggota JPJ dengan kaedah Sekatan Jalan Raya (SJR).
Mohammad Yusoff berkata, sebanyak 820 motosikal telah diperiksa dengan 74 daripadanya diambil tindakan termasuk tujuh disita.
Katanya, kebanyakan motosikal yang diperiksa dikesan mengabaikan aspek penyelenggaraan kenderaan, termasuk menanggalkan cermin sisi motosikal.
"Cermin sisi ini memang dipasang oleh pengeluar ketika kenderaan dikeluarkan. Namun ada penunggang yang bertindak menanggalkan kedua-dua cermin tersebut.
"Ini bukan sahaja melanggar peraturan, malah membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Secara keseluruhan beliau berkata, sebanyak 176 notis kesalahan telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan utama, antaranya tiada lesen memandu (67 kes), tiada cukai jalan (57 kes) dan tiada insurans (54 kes).
Tambahnya, kesalahan lain yang dikesan termasuk nombor pendaftaran bermasalah, kesalahan teknikal serta kesalahan lain, menjadikan jumlah keseluruhan kesalahan direkodkan sebanyak 226 kes.
"Kenderaan yang berada di jalan raya mesti mempunyai lesen kenderaan motor dan insurans. Ini penting untuk melindungi pihak yang terlibat jika berlaku kemalangan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penjualan topi keledar murah dan tidak diluluskan SIRIM yang tular di media sosial, Mohammad Yusoff Abustan menegaskan hanya peralatan keselamatan yang mematuhi spesifikasi ditetapkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dibenarkan digunakan di jalan raya.
Katanya, dalam operasi penguatkuasaan, pihaknya lebih mengutamakan pendekatan advokasi dengan memberi teguran kepada penunggang.
"Kita akan minta mereka menukar topi keledar yang tidak mematuhi piawaian tersebut selain melaksanakan program pertukaran kepada topi keledar yang mempunyai cop SIRIM dalam kempen keselamatan jalan raya," katanya.