KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menerima sebarang jawapan meskipun tujuh surat telah dihantar bagi mendapatkan pengesahan berhubung kewujudan Titah Adendum.
Dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Muhammad Shafee berkata, surat berkenaan telah dihantar kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta Ketua Pengarah Penjara.
Menurutnya, pihak berkenaan bukan sahaja tidak menjawab surat tersebut, malah tiada pengesahan sama ada surat itu telah diterima atau tidak.
"KDN yang bertanggungjawab terhadap dokumen tambahan itu sepatutnya menjawab surat tersebut. Mereka tidak boleh berdiam diri.
"Jika dokumen itu tidak wujud, bukankah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyatakan perkara itu secara rasmi?
"Tidak salah sekiranya mereka maklumkan bahawa dokumen itu tidak dikeluarkan dari segi fakta dan undang-undang,” katanya.
Mengulas mengenai isu menghina mahkamah atau komital, beliau berkata, permohonan dikemukakan kerana mendakwa Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan gagal memberi arahan sewajarnya kepada pegawai lain, berhubung kewujudan titah tersebut.
Beliau berkata, sepanjang prosiding di mahkamah berlangsung, pegawai daripada Pejabat Peguam Negara tidak pernah menafikan kewujudannya.
"Mereka tidak boleh bermain ‘sorok-sorok’ dan tidak boleh menyuruh pihak kami ‘meneka’ sama ada dokumen itu wujud atau tidak,” katanya.
Pada 21 Mei lalu, bekas Presiden UMNO memohon di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, supaya Ahmad Terrirudin dipenjara kerana mendakwa beliau itu telah menghina mahkamah berkaitan Titah Adendum.
Menurut kenyataan firma tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menggesa Ahmad Terrirudin memberikan penjelasan sebelum dipertimbangkan untuk dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.
Hantar 7 surat, tapi masih tiada jawapan Titah Adendum - Shafee
Iklan
Muhammad Shafee (dua dari kiri) hadir dalam sidang akhbar berhubung Titah Adendum di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.