ALOR SETAR - Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah berjumlah RM15,000 pada 2016 dan 2017.
Tertuduh, Mohamad Zarir Mohd Khozali, 46, membuat pengakuan tidak bersalah itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim Gred S41 didakwa melakukan perbuatan tersebut membabitkan bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 milik seorang wanita di Pejabat Kebajikan Masyarakat Kulim pada 19 September 2016.
Mohamad Zarir juga dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan bantuan membaiki rumah sebanyak RM12,000 milik dua wanita berlainan di sebuah bank di Kulim pada 2 Oktober 2017.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.
Pada prosiding itu, Nurul Atikah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Mohd Hakim dalam rayuannya meminta jumlah jaminan dikurangkan.
Menurut Mohd Hakim, anak guamnya menanggung empat anak berusia antara 10 hingga 19 tahun yang masih belajar serta ibu bapa uzur, selain bakal menerima separuh gaji selepas ini.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM13,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Sebutan kes ditetapkan pada 8 April depan.