KLANG - Sindiket penyeludupan rokok tumpas dengan rampasan mencecah RM1.78 juta dalam serbuan pada Isnin.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang berkata, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, operasi Op Taring Landai yang dijalankan PPM Pelabuhan Klang itu berjaya menahan dua lelaki secara berasingan.
Menurutnya, tangkapan bermula jam 6 pagi menahan suspek berusia 24 tahun yang memandu van dalam keadaan mencurigakan di Saujana Putra, Kuala Langat.
"Pemeriksaan dalam van terbabit menemui pelbagai kotak rokok yang disyaki tidak bercukai.
"Selain itu, tangkapan kedua di lokasi berlainan turut menahan seorang lagi pemandu van berumur 26 tahun di kilometer 5.2 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) sebelum pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kotak rokok tidak bercukai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki disyaki rangkaian sindiket sama itu gagal menunjukkan sebarang dokumen untuk membawa rokok.
Katanya, tangkapan masing-masing telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan IPD Shah Alam untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jelasnya, PPM akan terus memperhebat dan memperkukuh operasi membanteras kemasukan serta penjualan rokok tidak sah tanpa kompromi.
"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan kegiatan penyeludupan ini dapat ditangani dengan tegas," ujarnya.