KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman keluarga mendiang pengasas Kumpulan Genting, Tan Sri Lin Goh Tong berhubung perebutan harta pusaka bernilai lebih RM1.6 bilion bermula di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Memetik laporan New Straits Times, mendiang Lim Siew Kim, yang juga anak ketiga pengasas Kumpulan Genting, meninggal dunia pada usia 73 tahun, akibat kanser pada Julai 2022.
Siew Kim meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Berdasarkan dokumen tuntutan, dua anak perempuan Siew Kim iaitu Chan T'shiao Li, 48, dan Kimberley Chan Tshiao Miin, 45, selaku plaintif mendakwa keseluruhan kes berkenaan tertumpu kepada kesahihan wasiat ibu mereka.
Mereka mendakwa Siew Kim tidak mempunyai keupayaan undang-undang dan mental yang diperlukan untuk membuat wasiat yang sah, sebelum kematiannya akibat kanser ovari tahap empat.
Selain itu, mereka juga mendakwa menemui kewujudan dua lagi wasiat ditinggalkan ibu mereka pada 2023 sebelum kewujudan wasiat yang disediakan peguam, Datuk Low Beng Choo pada April 2022.
Dua wasiat lain itu bertarikh 2 November 2021 dan 11 April 2022, manakala wasiat ketiga ditandatangani pada 28 April 2022.
Mereka turut mendakwa pelaksanaan wasiat ketiga berlangsung dalam tempoh masa singkat sehingga menimbulkan keadaan mencurigakan berkaitan penyediaan dan pembuatan wasiat terakhir itu.
Dalam dokumen tuntutan, anak-anak perempuan Siew Kim itu mendakwa tidak tahu sebab ibu mereka dipaksa menandatangani wasiat terakhir secara tergesa-gesa.
Mereka mendakwa mendiang pada waktu itu tidak berada dalam keadaan mengizinkan, kerana kemerosotan tahap keupayaan fizikal serta mentalnya.
Mereka mendakwa hanya mengetahui Beng Choo mempunyai kepentingan dalam harta pusaka si mati melalui Dikim Foundation (Yayasan Dikim) yang ditubuhkan oleh Siew Kim dan mendiang suaminya, Dick Chan Teik Huat.
Yayasan Dikim merupakan benefisiari utama wasiat berkenaan dengan menerima lebih 70 peratus baki harta pusaka.
Anak-anak perempuan mendiang yang terbabit dalam saman itu mendakwa tujuan sebenar yayasan itu masih tidak jelas dan samar.
T'shiao Li dan T'shiao Min mendakwa berlaku penipuan dalam pelaksanaan wasiat ibu mereka dan memohon agar ia diisytiharkan tidak sah, selain menuntut mereka bersama dua lagi adik-beradik diisytiharkan sebagai benefisiari yang sah.
Yayasan Dikim turut menerima hartanah di Pearl Hill, Tanjung Bungah, Pulau Pinang serta pegangan saham dan hartanah dalam Suria Waras Development Sdn Bhd.
Anak lelaki Siew Kim, Marcus Chan, yang turut dinamakan sebagai defendan, menerima hartanah di Jalan Ampang, pegangan saham dalam Mantap Awana Sdn Bhd, kandungan semua peti simpanan keselamatan serta 30 peratus baki harta pusaka.
Sebaliknya, T'shiao Li hanya menerima RM900,000 manakala Kimberley menerima RM100,000.
Seorang lagi anak perempuan mereka, T'shiao Yunn, menerima RM10 juta serta hartanah di Ampang Hilir, Kuala Lumpur, manakala anaknya, Jasmine akan menerima RM50,000 sebulan.
Dalam dokumen pembelaannya, Beng Choo menafikan dakwaan plaintif.
Hakim, Mahazan Mat Taib menetapkan 2 Mac depan prosiding seterusnya.