BARU-baru ini, kawan Merak Jalanan gigit jari apabila kereta baru tak sampai setahun dibelinya dilanggar motosikal. Pening kepalanya sebab penunggangnya seorang warga asing tanpa lesen!
Warga asing itu dikenakan denda kerana tidak memiliki lesen memandu dan menunggang secara melulu. Motosikal milik majikannya pula disita tetapi dikembalikan selepas bayar denda.
Jumlah keseluruhan ditanggung warga asing dan majikan itu tak sampai RM1,000. Malangnya, kawan Merak Jalanan terpaksa tanggung kos baik pulih sendiri hampir RM6,000.
Nasib baik ada insurans sendiri tetapi terpaksa akur NCD 55 peratus hilang. Premium insurans tahun depan pasti melambung. Lebih parah, tiga minggu berulang-alik kerja naik e-hailing. Semua itu sebab kesilapan orang lain.
Isu ini bukan terpencil. Dari dulu Merak Jalanan dengar warga asing seolah-olah bebas menunggang tanpa lesen seperti ‘raja jalanan’ di negara kita. Kalau nampak warga asing menunggang motosikal di jalan raya, pasti sebahagian besar tidak mempunyai lesen memandu.
Satu kes lagi, Merak Jalanan terbaca keluhan seorang rakyat tempatan apabila keretanya remuk dilanggar lari pemandu 4x4 nombor pendaftaran Thailand. Tiada tindakan boleh diambil untuk mengesan 4X4 tersebut, pelaku terus hilang entah ke mana.
Masalahnya bukan kepada pihak berkuasa semata-mata tetapi kelemahan undang-undang negara kita yang tidak cukup ketat. Apabila warga asing terlibat kemalangan, mereka sering ‘terlepas’ dengan hukuman minimum. Kita pula yang menanggung derita, kos dan kerugian.
Malaysia perlu serius menggubal undang-undang khusus untuk pemandu warga asing termasuk hukuman lebih berat, larangan keluar negara dan pampasan mandatori kepada mangsa.
Jangan tunggu tragedi lebih besar berlaku baru nak kelam-kabut. Undang-undang jalan raya mesti adil untuk semua, tak kira warga tempatan atau asing.