BERITA 41 pemuda dilaporkan meninggal dunia selepas berkhatan di Afrika baru-baru ini sepatutnya mengundang rasa simpati dan perbincangan serius soal keselamatan perubatan.
Bagaimanapun Merak Jalanan tengok netizen Malaysia, seperti biasa, tragedi itu bertukar jadi gelanggang debat jantina dalam sekelip mata.
Si lelaki mula masuk gelanggang dengan nada separuh serius, separuh bergurau. Kata sepakat mereka, bersunat adalah pengorbanan besar lelaki. Ada yang angkat kisah itu sebagai bukti bersunat bukan sakit main-main. Ada yang siap bergurau kononnya lelaki tahan sakit, cuma tak suka mengeluh.
Wanita pula sudah tentu tidak duduk diam. Ramai yang trigger dan terus keluar hujah membangkang, sakit bersunat tidak boleh lawan sakit bersalin. Kata mereka bersunat hanya potong kulit tetapi bersalin dihiris, digunting, terkoyak semata-mata mahu mengeluarkan zuriat.
Jadi perbincangan pun bertukar jadi pertandingan siapa paling menderita. Merak Jalanan tengok semua ini rasa pelik. Dua-dua mahu memenangkan rasa sakit masing-masing tetapi hakikatnya dua-dua sebenarnya tak pernah rasa pengalaman pihak satu lagi.
Merak Jalanan amati dan yakin sebenarnya lelaki sebenarnya tahu sakit bersalin itu lebih perit. Cuma dalam komen perdebatan itu, lelaki seperti bergurau senda sesama komuniti.
Akhirnya, tragedi sebenar tenggelam. Yang tinggal cuma ego, perbandingan dan gurauan yang entah ke mana arahnya.
Dan terus terang Merak Jalanan cakap, tak tahu mana satu lebih sakit sebab Merak Jalanan hanya bertelur. Tak pernah bersunat, tak pernah bersalin cuma pening tengok manusia berlumba-lumba nak jadi juara derita.