Nak masuk kubur pun masih nak bermegah-megah

Iklan
Mati itu pasti, tapi biarlah ia mengajar kita supaya merendah diri. Foto hiasan

BETULLAH cakap orang, semakin moden dunia, semakin ramai suka buat perkara pelik-pelik.

Dalam dunia hari ini, ramai suka menonjolkan status. Daripada benda-benda besar seperti rumah dan kereta, hinggalah ke benda-benda kecil seperti pakaian, beg tangan dan telefon bimbit.

Iklan
Iklan

Apabila sudah tak ada apa lagi nak ditayangkan, cari idea lain. Beli kain kapan berjenama pula.

Apabila kain kapan pun ditempah khas dengan pereka fesyen terkenal dan kalau tambah seringgit saja jadi RM1,000, kita patut berhenti sekejap dan bertanya, adakah ini persediaan akhirat atau mempamerkan kemewahan yang dibawa sampai ke liang lahad?

Iklan

Alasan yang diberi kedengaran cantik, supaya beringat tentang mati, supaya insaf. Tapi sejak bila kesedaran tentang kematian perlu dibungkus dengan label eksklusif? Bukankah hakikat mati itu sama sahaja, tanpa mengira siapa kita di dunia, apa pangkat atau status.

Merak Jalanan bimbang perbuatan sebegini akan jadi budaya. Hari ini seorang yang terkenal buat, esok orang lain ikut. Akhirnya, mati pun dijadikan pentas pertandingan. Siapa lebih mewah, siapa lebih eksklusif.

Iklan

Sedangkan dalam agama, kain kapan itu lambang kesederhanaan dan kesamarataan. Ia sepatutnya mengingatkan kita bahawa semua manusia kembali kepada Tuhan dalam keadaan yang sama, tanpa pangkat, tanpa harta, tanpa jenama.

Merak Jalanan tak menafikan hak sesiapa untuk berbelanja dengan wang sendiri. Namun, bila kemewahan dipamerkan atas nama agama dan kematian, ia wajar ditegur. Jangan sampai generasi akan datang menyangka, untuk mati dengan sempurna, mesti mahal dan berjenama.

Mati itu pasti, tapi biarlah ia mengajar kita supaya merendah diri.