‘Selamat tinggal anak-anakku’ – Doktor kehilangan sembilan anak sekelip mata

Iklan
Adam al-Najjar yang terselamat dalam serangan udara, bersama kakaknya, Sidra dan Eve yang terbunuh dalam tragedi tersebut.– Agensi

GAZA – Seorang doktor kanak-kanak yang berdedikasi di Gaza, Dr Alaa al-Najjar berdepan tragedi paling memilukan dalam hidupnya apabila sembilan daripada 10 anaknya terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis pada awal pagi Jumaat lalu.

Ketika kejadian, Dr Alaa, 35, sedang bertugas di Kompleks Perubatan Nasser, satu-satunya hospital yang masih beroperasi di wilayah tersebut, merawat bayi-bayi yang cedera akibat serangan rejim Zionis.

Iklan
Iklan

Seperti biasa, beliau meninggalkan rumah selepas bersalaman dan mencium kesemua anak-anaknya termasuk yang bongsu, Sayden, berusia enam bulan yang masih tidur.

Namun, ucapan selamat tinggal itu menjadi yang terakhir untuk anak-anaknya.

Iklan

Beberapa jam kemudian, mayat rentung tujuh anaknya dibawa ke hospital tempat beliau bertugas.

Dua lagi, termasuk Sayden, masih tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka.

Iklan

Daripada 10 anak, hanya seorang yang terselamat iaitu Adam yang berusia 11 tahun bersama suami Dr Alaa, Dr Hamdi al-Najjar, 40, yang kini dalam keadaan kritikal di hospital.

"Kejadian ini antara yang paling menyayat hati sejak perang bermula.

"Ia menimpa seorang doktor yang mengabdikan hidup untuk menyelamatkan kanak-kanak, namun akhirnya kehilangan anak-anaknya sendiri dalam sekelip mata," kata Ketua Jururawat Hospital Nasser, Mohammed Saqer.

Rakaman video yang dikongsi pegawai Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan mayat kanak-kanak yang hangus itu ditarik keluar dari runtuhan rumah yang masih terbakar berdekatan sebuah stesen minyak.

Abang kepada Hamdi, iaitu Ali al-Najjar, 50, menceritakan detik pilu saat menemui anak saudaranya, Adam, terbaring di jalan, diselaputi debu dan hampir tidak berpakaian.

"Hamdi pula ditemui di seberang jalan, mengalami pendarahan teruk di kepala dan dada, dan tangannya putus. Dia masih bernafas dengan lemah,” katanya.

Ali kemudian membawa kedua-dua mangsa ke hospital dan kembali ke lokasi untuk mencari sembilan lagi anak saudaranya.

"Apabila api dipadamkan sepenuhnya, kami temui mayat-mayat lain, semuanya terbakar dan ada yang hancur," ujarnya.

Ketika Dr Alaa tiba di tempat kejadian, mayat anak perempuannya, Revan, sedang ditarik keluar.

Dalam linangan air mata, beliau memohon untuk mendakap anaknya buat kali terakhir.

"Tubuh Revan hangus sepenuhnya dari paras atas – tiada kulit, tiada daging yang tinggal,” kata Ali.

Nama kesemua anak mereka ialah Yahya, Rakan, Ruslan, Jubran, Eve, Revan, Sayden, Luqman dan Sidra.

Menurut sumber hospital, jenazah anak-anak itu telah hancur sehingga Dr Alaa sendiri gagal mengecam mereka. Namun beliau tetap memeluk satu persatu, membacakan ayat al-Quran dan mendoakan mereka sebelum pergi melawat suami dan anaknya yang masih hidup.

"Dr Alaa kekal tenang walaupun wanita-wanita lain yang turut berada di situ rebah kerana pilu. ALLAH memelihara hatinya,” kata Pengarah Jabatan Kanak-Kanak Hospital Nasser, Dr Ahmed al-Farra.

Menurut rakan-rakan mereka, pasangan itu merancang untuk berhijrah ke Mesir dan menyambung pendidikan anak-anak di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kesemua anak mereka turut memegang kewarganegaraan Mesir.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan berkata mereka menyasarkan sekumpulan suspek yang beroperasi berhampiran tentera Israel di Khan Younis.

Sehingga kini, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 54,000 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk 16,503 kanak-kanak. -Agensi