Jemaah haji dah hantar 85 tan barang pulang ke Malaysia

Iklan
Sebanyak 85 tan barangan yang dibeli jemaah haji Malaysia termasuk sejadah, kurma, jubah, cenderahati dan perhiasan rumah sudah dihantar pulang menggunakan lima perkhidmatan agensi kurier dilantik oleh Tabung Haji (TH) setakat 18 Mei lalu.

MAKKAH - Sebanyak 85 tan barangan milik jemaah haji Malaysia, termasuk sejadah, kurma, jubah, cenderamata dan perhiasan rumah, telah dihantar pulang ke tanah air menggunakan perkhidmatan lima syarikat kurier yang diluluskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) setakat 18 Mei lalu.

Pengurus Khidmat Luar TH, Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, penghantaran itu membabitkan kos kira-kira 1.5 juta riyal, dengan 80 peratus barangan dihantar dari Madinah dan selebihnya dari Makkah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak TH menjangkakan lebih 150 tan barangan bakal dihantar sepanjang musim haji 1446H/2025M ini, dengan kos pengurusan dianggarkan mencecah 3 juta riyal.

"Jemaah haji digalakkan menghantar pulang barangan yang dibeli lebih awal supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadah haji,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriyah, di sini.

Iklan
Barangan larangan bagi perkhidmatan bagasi haji.

Tambahnya, Tabung Haji telah meluluskan operasi lima syarikat kurier sejak 29 April lalu iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd, Pos Malaysia Berhad, FGV Transport Services Sdn Bhd, MASkargo Logistics Sdn Bhd dan KTH Logistics Sdn Bhd.

"Setiap bangunan penginapan jemaah disediakan dengan perkhidmatan ini. Syarikat terlibat menawarkan khidmat menjual kotak, membungkus serta menghantar barangan terus ke Malaysia,” jelas beliau.

Iklan

Menurut Zamry, kadar caj penghantaran yang ditetapkan ialah RM18 bagi setiap kilogram ke Semenanjung Malaysia dan RM23 ke Sabah dan Sarawak.

"Dengan perkhidmatan ini, jemaah tidak perlu risau tentang pengurusan barangan. Selepas membeli, mereka boleh terus menggunakan perkhidmatan kurier di penginapan. Jika dibawa balik ke bilik, ia boleh menyebabkan kesesakan dan mengganggu keselesaan,” ujarnya.

Tempoh penghantaran dianggarkan antara 14 hingga 21 hari, namun katanya terdapat kes barangan sampai ke rumah hanya dalam tempoh sembilan hari.

"Saya nasihatkan jemaah agar merancang pembelian lebih awal dan tidak menunggu hingga hampir dengan hari wukuf, bagi mengelakkan kekalutan,” katanya lagi, sambil memaklumkan bahawa kapasiti bagasi penerbangan pulang dihadkan kepada 30 kilogram sahaja.

Dalam pada itu, Zamry berkata, jemaah boleh menuntut pampasan jika barangan yang dihantar tidak sampai ke alamat yang diberikan.

"Jika berlaku kehilangan, pihak syarikat kurier wajib membayar ganti rugi. Bagi barangan bernilai lebih RM1,000, jemaah digalakkan mengambil insurans tambahan. Namun, kebanyakan jemaah hanya menghantar barangan biasa,” katanya.

Selain itu, jemaah yang menghantar pulang al-Quran diminta memaklumkan perkara itu kepada syarikat kurier bagi memastikan ia dibungkus dan diuruskan dengan teliti.