JOHOR BAHRU – Tiga lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) bakal didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu atas pertuduhan melakukan jenayah khianat dan ugutan.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 31 tahun diberkas oleh Bahagian D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dalam satu serbuan pada 14 Mei lalu di sekitar bandar raya ini.
"Ketiga-tiga mereka dipercayai diupah oleh sindiket untuk melakukan ugutan, menyimbah cat dan mengunci pintu kediaman mangsa yang gagal membayar pinjaman.
"Turut dirampas ialah sebuah motosikal serta beberapa barangan yang disyaki digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut, termasuk telefon bimbit, botol cat, pelitup muka dan pelbagai alat tulis.
"Pihak polis turut menemui beberapa plastik lutsinar berisi mampatan daun kering yang disyaki dadah berbahaya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 28 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mula bergiat aktif sejak April lalu dengan menawarkan bayaran sebanyak RM500 bagi setiap perbuatan khianat atau ugutan yang dilakukan.
"Modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan pinjaman wang melalui media sosial seperti Facebook dan aplikasi TikTok.
"Wang pinjaman akan dimasukkan terus ke dalam akaun peminjam selepas mereka menyerahkan butiran peribadi, walaupun belum bersetuju dengan terma pinjaman,” katanya.
Tambah beliau, sindiket kemudian akan memaksa peminjam untuk membuat bayaran dengan mengenakan kadar faedah tinggi antara 20 hingga 50 peratus.
Sekiranya bayaran gagal dibuat, ahli sindiket akan digerakkan untuk melakukan ugutan dan menyimbah cat sebagai amaran kepada peminjam dan keluarga mereka.
Katanya lagi, sasaran utama kumpulan sindiket ialah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, manakala semua urusan transaksi dijalankan melalui akaun bank yang didaftarkan di republik itu.
"Dengan penahanan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes yang menggunakan modus operandi sama, iaitu empat kes di Johor Bahru Selatan, dua di Johor Bahru Utara dan dua lagi di Batu Pahat.
"Sebanyak lapan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dengan arahan pertuduhan seperti berikut:
"Enam pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang menyebabkan kerugian, serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan satu lagi mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Polis Johor, katanya, komited untuk terus membanteras kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikan negeri ini kekal selamat untuk didiami dan dikunjungi pelancong dari dalam serta luar negara.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melayari atau berurusan dengan iklan pinjaman wang atas talian yang tidak sah bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket.