KELANA JAYA – Taktik membuat pengikraran palsu sebagai perkakasan dapur untuk menyeludup masuk dron bagi kegunaan pertanian melalui Pelabuhan Utara, Klang berjaya digagalkan baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, rampasan dibuat oleh pasukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kira-kira jam 5.15 petang, 23 April lalu, susulan penahanan sebuah kontena.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dengan kerjasama Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) menemui dagangan elektronik berupa dron.
"Sebanyak 20 unit dron dengan nilai RM1,638,000 termasuk cukai telah dirampas.
"Pengimportan dagangan elektronik seperti dron memerlukan sijil kelulusan daripada SIRIM sebelum ia boleh dibawa masuk ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Kelana Jaya pada Selasa.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu sebagai ‘kitchen towel’.
Tambahnya, JKDM percaya dron berkenaan dibawa masuk dari sebuah negara di Asia untuk pasaran tempatan bagi kegunaan sektor pertanian.
"Ini merupakan kes pertama seumpamanya sejak tahun lepas. Bagi kes ini, kita telah merekodkan keterangan beberapa individu termasuk ejen bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam kes berasingan, JKDM WPKL turut merampas 21,351 liter minuman keras tidak bercukai bernilai RM2.81 juta di Pelabuhan Utara, Klang pada 7 Mei lalu.
Tambahnya, rampasan itu dibuat susulan penahanan sebuah kontena yang membawa dagangan diikrar sebagai barangan perabot.