BATU GAJAH - Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing liar menggunakan mercun, bulan lepas.
Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas Wong Phan Sang, 64, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memerintahkan lelaki tersebut dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Phan Sang didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru, Pusing, di sini pada jam 7.30 malam 28 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Choong Hui Yean yang mewakili Phan Sang memohon hukuman denda minimum RM500 kerana anak guamnya hanya berniat menakutkan anjing itu selepas dikejar dan terjatuh dari motosikal dua hari sebelum kejadian.
Hui Yean berkata, Phan Sang yang menghidap penyakit kebimbangan dan menerima rawatan sejak 2020 telah insaf selepas direman empat hari berkaitan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya Monisha Pandey memohon hukuman berat sebagai pengajaran mengambil kira kes penganiayaan haiwan semakin meningkat dan perbuatan membaling mercun boleh membahayakan keselamatan orang awam.
Beliau berkata, aduan mengenai haiwan liar sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Batu Gajah dan bukan mengambil tindakan sendiri.
Berdasarkan fakta kes, anjing liar itu ditemukan mati pada jam 7.30 malam, 28 Januari berhampiran sebuah restoran selepas penduduk setempat mendengar bunyi letupan kuat.
Rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan Phan Sang membaling objek ke arah anjing itu sehingga menyebabkan haiwan tersebut mati.
Pada jam 2.15 pagi 31 Januari, Phan Sang menyerahkan satu bekas makanan lutsinar mengandungi pemetik api dan enam mercun bola pelbagai warna kepada polis. - Bernama