Netizen ada pengaruh lebih besar banteras rasuah - KJ

Iklan
Khairy ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa

SHAH ALAM – Pemantauan oleh netizen di media sosial terhadap pemimpin negara merupakan salah satu usaha penting dalam membanteras gejala rasuah.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dengan kemudahan teknologi yang ada, netizen boleh memanfaatkannya untuk mendapatkan maklumat secara meluas, sekali gus mampu memberi kesan besar terhadap reputasi dan imej pemimpin terbabit.

Iklan
Iklan

"Kita pantau sebagai netizen. Sekarang ini, netizen ada pelbagai kuasa (pengaruh), malah lebih besar daripada media.

"Contohnya, netizen tengok menteri bawa kereta apa sekarang. Sebelum menjadi menteri, apa kereta mereka bawa. Isu biasa seperti itu pun boleh memberi kesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, rakyat juga perlu memilih pemimpin yang bersih serta memastikan mereka melakukan pengisytiharan harta bagi menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

"Kita sokong tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa dan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan

"Saya juga pernah disoal siasat kerana sudah tiga kali menjadi menteri dan keluar masuk kerajaan.

"Pernah disiasat ketika saya menjadi Menteri Kesihatan disebabkan bajet yang besar melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit sewaktu pandemik Covid-19, tetapi tidak ada masalah kerana saya sedia beri kerjasama,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai menteri yang memegang amanah rakyat, beliau perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik dan telus tanpa cenderung kepada penyalahgunaan kuasa.

"Apabila saya mengosongkan jawatan sebagai menteri, ada pihak yang datang untuk menjalankan siasatan. Saya tidak ada masalah.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini tidak ada apa-apa berlaku. Kita kena buat kerja dengan bersih semasa kita menjadi menteri.

"Kita tidak tahu apa akan berlaku selepas tidak menjadi menteri. Sudah tentu mungkin akan ada audit, kertas putih atau siasatan. Masa itu, kita perlu bersedia untuk menjawab segala pertanyaan,” ujarnya.