Integriti, rasuah dari kaca mata Islam

Iklan
Islam tidak melihat rasuah sekadar jenayah peribadi, tetapi ia merupakan satu penyakit sosial yang merosakkan sistem masyarakat. Gambar kecil: Shamsiah

SUDAH sekian lama kita melihat di dada akhbar tentang isu berkaitan rasuah dan integriti. Malah dalam era globalisasi yang penuh cabaran ini, isu integriti dan rasuah semakin terserlah di media massa terutama di media sosial yang kuasa tularnya sangat laju.

Melihat kepada rasuah yang semakin menjadi-jadi dewasa ini sekali gus menjadi satu petunjuk kepada menurunnya tahap integriti dalam kalangan manusia yang ada kuasa, maka saya merasakan satu keperluan untuk membicarakan rasuah dan integriti dari perspektif Islam.

Iklan
Iklan

Integriti

ALLAH SWT berfirman dalam Surah al Nisa’, ayat 58 yang bermaksud:"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya".

Iklan

Ayat ini memberitahu kita bahawa konsep amanah menjadi asas kepada integriti seorang Muslim. Ini bermakna integriti dalam Islam adalah manifestasi keimanan yang sebenar. Oleh itu, setiap tindakan dan keputusan yang dibuat perlu mencerminkan nilai-nilai ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Rasuah

Iklan

Rasuah (al-risywah) dalam terminologi Islam merujuk kepada pemberian atau pertukaran yang dilakukan dengan tujuan mendapatkan sesuatu secara tidak halal. Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan dalam hadis:"ALLAH melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara di antara keduanya." (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis ini, kutukan yang diberikan melibatkan tiga pihak dan bukan terhenti kepada penerima dan pemberi rasuah sahaja. Ini menunjukkan betapa seriusnya Islam dalam menangani isu rasuah.

Dalam Surah al-Anfal, ayat 27, ALLAH berfirman yang maksudnya:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui." Larangan mengkhianati amanah dalam ayat ini menunjukkan bahawa betapa besarnya impak terhadap masyarakat apabila amanah tidak dijaga.

Kesan buruk

Islam tidak melihat rasuah sekadar jenayah peribadi, tetapi ia merupakan satu penyakit sosial yang merosakkan sistem masyarakat. Ia boleh menghancurkan sistem keadilan, meminggirkan prinsip meritokrasi, dan mewujudkan budaya 'cari jalan pintas'.

Malah yang lebih buruk lagi ialah rasuah akan mencemarkan hati dan menjauhkan masyarakat dari rahmat ALLAH SWT. Ini kerana rasuah merupakan salah satu bentuk memakan harta orang lain secara batil.

Senjata melawan rasuah

Dalam Islam, konsep muraqabah iaitu kesedaran bahawa ALLAH sentiasa memerhati setiap perbuatan kita, boleh menjadi benteng terkuat melawan rasuah.

Apabila dia berpegang dan yakin bahawa dia sentiasa dalam pengawasan ALLAH yang Maha Mengetahui, dia pasti akan menjaga integritinya sekali pun dalam keadaan tersembunyi dan berpeluang melakukan rasuah. Keyakinan bahawa setiap amalan akan dihisab, dipertanggungjawabkan dan diberi balasan di akhirat nanti menjadi pendorong untuk sentiasa menjaga integriti dan menjauhi rasuah.

Tanggungjawan kolektif

Dalam Islam, memerangi rasuah bukan hanya menjadi tanggungjawab pemerintah semata-mata, tetapi ia juga tanggungjawab bersama setiap anggota masyarakat. Prinsip mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang menjadi teras ajaran Islam mewajibkan kita untuk mencegah kemungkaran yang dilihat. Institusi keluarga, pendidikan dan masyarakat perlu bekerjasama dalam membentuk budaya integriti dari peringkat akar umbi.

Kesimpulan

Masyarakat Islam yang diimpikan adalah masyarakat yang bebas daripada rasuah, teguh dengan prinsip keadilan dan memelihara amanah. Dengan mengamalkan ajaran Islam sebenar, menghayati konsep muraqabah dan melaksanakan tanggungjawab mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kita akan berjaya membina masyarakat yang berintegriti tinggi.

* Dr Shamsiah Mohamad ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-Jakim