SHAH ALAM - Sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) memberi penjelasan dan bertanggungjawab berhubung keputusan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut (NFA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Dalam kenyataan bersama Projek SAMA, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) serta Rasuah Busters memaklumkan, kes itu dianggap luar biasa apabila AGC menarik balik kesemua pertuduhan berkenaan pada 4 September 2023 selepas mahkamah mendapati wujud kes prima facie, selain perbicaraan telah berlangsung selama empat tahun, sekali gus membolehkan Ahmad Zahid memperoleh perintah Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA).
Mereka mendakwa keputusan NFA berkenaan dilihat sebagai langkah disengajakan bagi membolehkan Timbalan Perdana Menteri memohon Pelepasan Dengan Pembebasan (DAA).
“Mengapa kes yang telah membuktikan kewujudan prima facie akhirnya runtuh sehingga tidak lagi memerlukan siasatan? Antara Mahkamah Tinggi dan AGC, kredibiliti sekurang-kurangnya satu pihak kini dipersoalkan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Sehubungan itu, pertubuhan terbabit menuntut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memberikan penjelasan secara peribadi berhubung asas undang-undang keputusan NFA, pertimbangan kepentingan awam, representasi yang diterima serta proses semakan dalaman yang membawa kepada keputusan tersebut.
Mereka turut mengingatkan bahawa penarikan balik pertuduhan pada 2023 dibuat ketika Mohd Dusuki masih menjawat jawatan Timbalan Pendakwa Raya.
Kenyataan itu juga merujuk tindakan AGC menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid melalui perintah DAA dalam kes Visa Luar Negara (VLN) sebulan selepas Mohd Dusuki dilantik sebagai Peguam Negara, membabitkan 40 pertuduhan berkaitan kontrak membawa masuk pekerja asing ketika Ahmad Zahid menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.
Menurut mereka, kaitan antara penglibatan Mohd Dusuki dan keputusan pelepasan melibatkan Ahmad Zahid menimbulkan persoalan sah mengenai integriti institusi Peguam Negara selagi AGC gagal mengemukakan justifikasi menyeluruh dan meyakinkan.
“Waktu keputusan NFA ini dibuat, iaitu sebelum pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Awam, turut mengundang spekulasi sama ada reformasi institusi paling penting yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terjejas akibat kekebalan terhadap sekutu politik terpentingnya,” menurut kenyataan itu.
Walaupun Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan budi bicara kepada Peguam Negara untuk memulakan atau memberhentikan pendakwaan, pertubuhan berkenaan menegaskan kepercayaan awam terhadap institusi pendakwaan boleh terhakis sekiranya keputusan dibuat tanpa alasan terperinci untuk penelitian umum.
Mereka memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu ini berisiko menyebabkan kekecewaan rakyat terhadap institusi pendakwaan berterusan walaupun selepas pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya Awam dilaksanakan.
Sehubungan itu, mereka menggesa agar garis panduan pendakwaan yang jelas diwujudkan, khususnya berkaitan penamatan kes melibatkan wakil rakyat dan individu berpengaruh, selain keperluan penjelasan munasabah apabila pertuduhan ditarik balik atau tidak diteruskan dalam kes berprofil tinggi melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, CBT dan pengubahan wang haram.
Pertubuhan itu juga menuntut pengawasan bebas terhadap keputusan pendakwaan utama, dengan menegaskan prinsip akauntabiliti awam mesti mengatasi kerahsiaan institusi.
Menurut kenyataan itu, ketiadaan alasan terperinci dalam keputusan AGC berhubung NFA dan penarikan balik kes pada 2023 menghantar mesej berbahaya mengenai kewujudan sistem keadilan dua darjat, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang.
Mereka menegaskan kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa perkara berkenaan berada sepenuhnya di bawah kuasa AGC mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak menjawab isu asas, iaitu kuasa perlembagaan tidak menafikan tanggungjawab terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaannya.
“Budi bicara pendakwaan bukan kuasa mutlak. Ia mesti dilaksanakan dengan niat baik, bebas daripada pertimbangan tidak wajar serta berlandaskan kepentingan awam,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka lagi, rasuah oleh penjawat awam, khususnya wakil rakyat, menyerang teras tadbir urus demokrasi, menggalakkan teori konspirasi serta populisme di tengah-tengah defisit demokrasi yang semakin melebar.
“Perjuangan menentang rasuah bermula dengan memastikan golongan berkuasa dipertanggungjawabkan. Ketelusan bukan satu pilihan, sebaliknya keperluan,” tambah kenyataan itu.