MALAYSIA sebagai sebuah negara majmuk memerlukan asas nilai yang kukuh bagi menyatukan rakyat yang pelbagai kaum, agama dan budaya ke arah pembentukan negara bangsa yang stabil dan berdaya tahan.
Dalam konteks ini, pembinaan negara bangsa dan identiti nasional bukan sekadar proses politik atau pentadbiran, malah merupakan usaha berterusan yang menuntut penghayatan nilai moral dan etika oleh seluruh lapisan masyarakat.
Pembinaan negara bangsa merujuk kepada usaha membentuk sebuah negara berdaulat yang rakyatnya bersatu padu di bawah satu sistem pemerintahan dan undang-undang yang adil.
Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas utama kepada pembinaan negara bangsa dengan menetapkan prinsip kedaulatan undang-undang, keadilan serta tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat.
Prinsip ini hanya dapat dipertahankan sekiranya nilai integriti diamalkan secara konsisten dan amalan rasuah ditolak dalam semua peringkat kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Integriti merupakan teras kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi negara. Tanpa integriti, prinsip negara bangsa akan terhakis dan legitimasi institusi awam boleh dipersoalkan.
Amalan rasuah seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan salah guna wang awam bukan sahaja menjejaskan pembangunan ekonomi, malah merosakkan imej negara serta melemahkan sistem demokrasi.
Keadaan ini bercanggah dengan nilai yang mendasari Rukun Negara, khususnya kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan dalam pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat.
Keberkesanan dasar-dasar pembangunan negara juga sangat bergantung kepada tahap integriti dalam pelaksanaannya. Pelbagai dasar diperkenalkan bagi menjamin keadilan sosial dan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum serta wilayah.
Namun, sekiranya rasuah berleluasa, matlamat dasar tersebut tidak akan tercapai dan pembangunan yang dirancang berisiko gagal memberi manfaat secara adil. Oleh itu, penolakan terhadap rasuah merupakan prasyarat penting bagi memastikan pembangunan negara berlaku secara telus dan saksama.
Pemupukan nilai integriti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan. Ia bermula di peringkat keluarga melalui teladan ibu bapa dalam membentuk sahsiah dan nilai moral anak-anak.
Pendidikan pula berperanan memperkukuh nilai integriti melalui penerapan kejujuran, tanggungjawab dan etika dalam kurikulum serta amalan seharian.
Persekitaran kerja dan masyarakat yang menjunjung ketelusan dan akauntabiliti akan menyokong pembentukan budaya integriti yang kukuh, sekali gus meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi.
Dalam masa yang sama, pembentukan sikap antirasuah memerlukan kesedaran individu dan komitmen kolektif masyarakat. Rasuah tidak boleh dianggap sebagai amalan biasa walaupun dalam skala kecil. Sikap tidak bertoleransi terhadap rasuah perlu dijadikan norma sosial, termasuk keberanian menegur dan melaporkan salah laku.
Media pula berperanan menyampaikan maklumat secara beretika serta meningkatkan kesedaran awam tentang kesan buruk rasuah terhadap kestabilan dan keharmonian negara.
Integriti dan antirasuah merupakan dua elemen yang saling berkait dan tidak dapat dipisahkan. Integriti menjadi asas kepada penolakan rasuah, manakala antirasuah merupakan manifestasi kepada integriti yang dizahirkan melalui tindakan.
Pentadbiran yang berintegriti akan mengurangkan peluang berlakunya rasuah serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan dan undang-undang.
Kesimpulannya, pembinaan identiti nasional dan negara bangsa Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada pengamalan nilai integriti dan penolakan rasuah.
Integriti dan antirasuah merupakan sebahagian daripada nilai teras yang membentuk jati diri bangsa, selari dengan semangat Rukun Negara yang menekankan keadilan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.
Komitmen bersama seluruh rakyat dan kepimpinan amat penting bagi menjamin masa depan Malaysia yang aman, makmur dan bermaruah.
*Dr Sabariah Baharun, Ahli Jawatankuasa Pusat (Ketua Kluster Perpaduan Nasional) Pertubuhan IKRAM Malaysia