IPOH – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menyasarkan warga asing sebagai antara fokus utama menerusi pelaksanaan siri ketujuh Operasi Pematuhan 2025 yang dikenali sebagai Op Kinta yang bermula selama empat hari sehingga 30 Mei di seluruh Perak.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim berkata, pendekatan itu merupakan strategi penting dalam menangani ekonomi bayangan yang memberi kesan langsung terhadap kutipan hasil negara.
"Sebanyak 80 kes dikenal pasti melibatkan operasi perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing membabitkan rakyat Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.
"Melalui operasi ini, kita bukan sahaja mengambil tindakan penguatkuasaan, malah turut menjalankan verifikasi terhadap pembayar cukai tidak aktif supaya tiada pihak terlepas daripada tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Khairul Halimin, operasi kali ini melibatkan seramai 227 pegawai LHDN dengan 676 kes disasarkan di beberapa lokasi ekonomi utama di negeri ini.
Katanya, lima sektor berisiko tinggi menjadi tumpuan iaitu pembinaan, hartanah, pembuatan, ekonomi bayangan dan pertanian.
Jelasnya, aktiviti utama yang diberi tumpuan dalam operasi tersebut ialah audit cukai dan majikan, pematuhan strategik, verifikasi pembayar cukai, pungutan serta tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Beliau berkata, operasi kali ini juga dimanfaatkan untuk memberi penerangan secara langsung mengenai pelaksanaan sistem e-Invois kepada pembayar cukai.
LHDN menyasarkan Op Kinta sebagai satu usaha berstruktur dan berteraskan hasil dalam memperkukuh ekosistem percukaian negara serta meningkatkan tahap pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai boleh menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000, menggunakan perkhidmatan HASiL Live Chat atau mengisi borang maklum balas di portal rasmi HASiL menerusi pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public.