MELAKA – Polis Melaka sedang menyiapkan kertas kerja bagi cadangan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape sebelum dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, cadangan itu susulan dapatan pihaknya bahawa trend penyalahgunaan dadah sintetik baharu dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, penggunaan dadah jenis tersebut bukan sahaja memberi impak kepada golongan dewasa, malah pelajar sekolah juga telah mula terdedah dengan penggunaan vape.
Katanya, kajian akan dijalankan merangkumi pelbagai aspek termasuk kesan kepada ekonomi peniaga dan sebagainya, selain penglibatan agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Kita lihat sekarang ini, pelajar sekolah pun ramai yang terbongkang tepi jalan, tak pulang ke rumah selepas sekolah, hisap vape, terbaring bawah pokok dan sebagainya.
"Kertas kerja apabila siap nanti, barulah kita akan usulkan kepada kerajaan negeri. Kita akan lihat isu-isu yang menyebabkan ia perlu diharamkan, termasuk kaitannya dengan pelajar sekolah dan kesan sampingan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini pada Selasa.
Tambahnya, cadangan tersebut bertepatan dengan saranan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada bulan lalu.
Malah, ujarnya, hasrat itu timbul selepas pihaknya mendapati beberapa negeri lain telah mula mengharamkan penjualan vape, seperti negeri Johor yang melaksanakannya lebih awal.
"Selain itu, terdapat juga beberapa negeri lain yang sedang dalam proses untuk mengharamkan penjualan vape,” katanya lagi.