Anggota polis ditemui mati dalam sel tahanan

Iklan
Seorang anggota polis dalam tahanan ditemui meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka di sini, semalam.

KANGAR – [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis dalam tahanan ditemui meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kematian itu dimaklumkan oleh kakitangan Hospital Tuanku Fauziah kepada pihaknya pada jam 5.25 petang.

Iklan
Iklan

"Anggota yang sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau telah menerima panggilan daripada pihak Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, memaklumkan bahawa seorang tahanan dari Pusat Koreksional Perlis telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati si mati, berusia 28 tahun dan berasal dari Terengganu, merupakan seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis yang ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Si mati ditahan di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka sejak 17 Mac 2023 dan sedang menunggu keputusan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kangar.

"Pada Isnin, sekitar jam 8 pagi, si mati diarahkan untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar bagi menghadiri perbicaraan, namun enggan hadir,” katanya.

Iklan

Jelas Ahmad Mohsin, si mati dilawati setiap satu jam oleh warden yang bertugas dan didapati hanya duduk diam serta baring di katilnya.

"Kemudian, sekitar jam 4.30 petang, warden yang membuat rondaan di sel cuba mengejutkan si mati yang disangka sedang tidur, namun mendapati dia tidak lagi bergerak, lalu segera mengarahkan agar dibawa ke hospital.

"Pada jam lebih kurang 5.10 petang, pihak hospital mengesahkan si mati tiba dalam keadaan ‘Brought In Dead’ (BID),” katanya.

Hasil siasatan lanjut mendapati si mati ditempatkan di Blok Damai, Pusat Koreksional Perlis bersama dua lagi banduan.

"Si mati turut mempunyai rekod psikiatri yang telah dirujuk di beberapa hospital sejak tahun 2017.

"Siasatan awal pegawai penyiasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah terhadap si mati yang boleh menjurus kepada punca kematian,” katanya.

Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat pada Selasa bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Menurut Ahmad Mohsin, jenazah dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Setiu, Terengganu setelah selesai proses bedah siasat.