TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran yang menggunakan khidmat tonto di Kampung Periok, Chabang Empat di sini pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguat kuasa, Aswadi Jaafar berkata, serbuan jam 8.30 pagi itu membawa kepada rampasan 4.6 tan minyak masak bersubsidi.
Menurutnya, semasa mengekori lori tersebut sebuah trak pikap yang bertindak sebagai 'tonto' telah dikesan bagi membantu melancarkan pergerakan lori terbabit.
"Kedua-dua kenderaan itu kemudian memasuki kampung. Anggota bertugas terus bertindak menyerbu kedua-dua buah kenderaan tersebut.
"Bagaimanapun, seorang lelaki yang dipercayai pemandu lori bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Trak pikap jenis Toyota Hilux turut ditinggalkan selepas pemandunya bertindak melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Aswadi memberitahu, pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas lori berkenaan telah menjumpai 4,692 kilogram minyak masak peket satu kilogram pelbagai jenama yang disyaki untuk diseleweng.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM56,730.
"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," ujarnya.