PENIPUAN badal haji adalah satu isu serius yang semakin banyak berlaku, terutamanya apabila ramai waris mahu menunaikan haji bagi pihak ahli keluarga yang telah meninggal dunia atau uzur.
Setiap tahun ramai kena tipu. Kesian pada waris yang berharap dapat tunaikan haji bagi pihak arwah keluarga mereka tetapi kena scam.
Modus operandi penipu sering kali melibatkan tawaran harga yang tidak munasabah dan penggunaan identiti palsu.
Kos sebenar untuk badal haji yang sah (melibatkan visa, penginapan, pengangkutan dan upah) biasanya melebihi RM10,000. Penipu menawarkan harga serendah RM1,000 hingga RM3,000, yang secara logiknya tidak cukup untuk kos sebenar di Makkah.
Pelajar di sana pun tak boleh masuk kawasan haji, malah penduduk sana pun kena bayar permit haji 9000 riyal. Macam mana di Malaysia boleh ada tawaran badal haji di bawah RM2,000.
Kedua, satu orang buat badal haji untuk ramai sekaligus. Ada kes satu individu mendakwa boleh badal haji untuk 10 hingga 30 orang serentak.
Ini bertentangan dengan syarat syarak — satu orang hanya boleh lakukan badal untuk satu individu dalam satu musim haji.
Ketiga, tiada bukti sah pelaksanaan. Mangsa hanya terima gambar atau sijil tanpa pengesahan rasmi. Tiada bukti individu itu benar-benar pergi ke Makkah untuk menunaikan haji.
Pernah berlaku seorang mangsa membayar lebih RM2,000 untuk badal haji arwah ibunya, tetapi hanya menerima gambar Kaabah dari Google dan"sijil” yang tidak sah.
Keempat, guna nama ustaz atau individu terkenal. Ada penipu guna nama dan gambar tokoh agama, ustaz, atau agensi kerajaan untuk meyakinkan pelanggan. Contoh, CEO agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia pernah ditiru identitinya dalam kes penipuan badal haji.
Justeru rakyat Malaysia yang beragama Islam dinasihatkan supaya berhati-hati dan melakukan siasatan terlebih dahulu.
Waspada dengan taktik tawaran pakej badal haji terutama yang tidak menyatakan secara jelas siapa yang akan menjadi pelaksana ibadat itu kerana dikhuatiri ditipu sindiket yang bertujuan mengaut keuntungan semata-mata.
Ingatlah, pihak yang terlibat dalam badal haji sama ada yang menjadi orang tengah di Malaysia atau pihak yang berada di Arab Saudi bahawa penipuan adalah perbuatan dimurkai ALLAH SWT dan Rasulullah SAW tidak mengaku sebagai umat.