KANGAR - Analisis terperinci perlu dilakukan biarpun Bukit Lagi telah melalui proses pencirian dan penilaian saintifik bagi memperoleh statusnya sebagai geotapak yang diiktiraf dalam Geopark Perlis.
Presiden Persatuan Pemuliharaan Gua dan Kars Malaysia, Dr Ros Fatihah Muhammad berpendapat, tindakan tertentu tanpa kesedaran mencukupi dan keputusan bijak boleh menyebabkan risiko kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada kawasan bernilai tinggi tersebut.
Menurutnya, hal tersebut pasti akan memberikan kesan buruk terhadap usaha pembinaan kapasiti sains untuk generasi masa depan kita.
"Selain fosil yang menentukan usia batu kapur, Bukit Lagi memelihara takik laut terlarut yang jarang ditemui, bukti paras laut semasa Holosen terukir pada dinding barat bukit, menunjukkan bahawa garis pantai kuno pernah mengunjur lima kilometer ke daratan dari pantai semasa.
"Takik paras laut tinggi ini juga dapat dilihat di dalam dan di luar gua yang menjadi kontroversi bersama dengan fosil kulit kerang yang tertanam 2.5 meter tinggi di siling," katanya.
Beliau berkata, persekitaran unik tersebut bukan sekadar keajaiban geologi malah ia juga menyediakan ekosistem yang penting, menyokong biodiversiti, memastikan kelestarian sumber air dan mempunyai nilai sejarah yang mendalam.
Menurutnya, masih banyak penyelidikan dan penerokaan saintifik perlu dilakukan bagi memperolehi lebih banyak pengetahuan secara langsung dan tidak langsung.
Namun jelas beliau, tanpa pengetahuan secukupnya dan keputusan yang sepatutnya, tindakan tertentu kemungkinan berisiko sehingga menyebabkan kerosakan kepada kawasan itu.
"Usaha pelbagai NGO seperti Perlis Climbers dan Malim Gunung Perhutanan Perlis serta komuniti setempat untuk mencegah kerosakan tapak ini perlu dipuji.
"Mereka sudah bersedia untuk mengisi jurang ini kerana mereka telah membina rangkaian dengan pakar lapangan dan komuniti melalui pelbagai projek lapangan pada masa sebelum dan semasa...apa yang sama penting adalah keperluan mendesak untuk rangka kerja undang-undang dan peraturan yang lebih kukuh bagi melindungi tapak berharga ini," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pendirian kerajaan Perlis menangguhkan pembinaan kafe di Gua Cenderawasih di Bukit Lagi bertujuan meneliti secara terperinci garis panduan ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan pemeliharaan geotapak.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pendekatan ini diambil bagi memastikan sebarang pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut kekal mesra alam dan tidak menjejaskan nilai geologi serta struktur asal gua berkenaan.