ASEAN tidak boleh lagi membisu

Iklan
Sudah tiba masanya ASEAN bersuara lantang dan berprinsip kerana dunia kini sedang terbakar dengan krisis kemanusiaan.

ASEAN kini berdepan detik ujian terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang sering dilaungkan dalam piagam dan kenyataan rasmi.

Sudah tiba masanya ASEAN bersuara lantang dan berprinsip kerana dunia kini sedang terbakar dengan krisis kemanusiaan, oleh yang demikian suara serantau tidak boleh terus tenggelam dalam retorik diplomatik.

Iklan
Iklan

Kekejaman yang sedang berlaku di Gaza bukan lagi isu wilayah, tetapi lambang nyata kegagalan masyarakat antarabangsa mempertahankan undang-undang dan moral sejagat.

Penindasan yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, termasuk sekatan penuh sehingga menyebabkan kebuluran dan kematian, tidak boleh dimaafkan.

Iklan

ASEAN sebagai gabungan serantau yang sering mendakwa memperjuangkan keamanan dan keadilan, tidak boleh berdiam diri.

Malaysia melalui Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah menyatakan dengan jelas bahawa kekejaman ini adalah pencabulan undang-undang antarabangsa.

Iklan

Jika ASEAN benar-benar mahu kekal relevan, suara kolektifnya perlu digunakan untuk menekan rejim yang menindas, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan umum yang hambar.

Begitu juga dalam isu Myanmar, gencatan senjata yang dicadangkan ASEAN perlu diperluaskan dan dilanjutkan, bukan sekadar terhad kepada zon konflik.

Bantuan kemanusiaan mesti disalurkan tanpa halangan kerana isu ini melibatkan nyawa orang awam dan bukan sekadar pelan diplomasi.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur menjadi medan penting untuk membuktikan keberanian moral ini.

Dengan kehadiran pemimpin-pemimpin ASEAN, GCC dan Perdana Menteri China, ASEAN mempunyai peluang unik untuk memimpin perbualan global dan bukan hanya mengikut arusnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyambut ketibaan rasmi para pemimpin pada 26 dan 27 Mei, sekali gus mengesahkan betapa pentingnya detik ini untuk diplomasi serantau.Kita tidak meminta ASEAN mencampuri kedaulatan negara anggota atau menjadi polis dunia.

Apa yang diperlukan hanyalah keberanian moral untuk mengatakan yang benar dan bertindak demi kemanusiaan.

Jika ASEAN ingin terus relevan di mata rakyat dan dunia, inilah saatnya untuk bangkit dan bukan hanya berdiam diri.