Sewa terlalu mahal, mangsa kebakaran terpaksa menumpang di pusat tahfiz

Iklan
Sebuah keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran ketika menguruskan jenazah ibu kini menumpang di pusat tahfiz.

MACHANG - Seramai 11 sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka di Batu 23, Labok, di sini musnah dalam kebakaran, kini ditumpangkan di sebuah pusat tahfiz sejak dua hari lalu.

Pegawai Operasi di sebuah syarikat keselamatan, Mohamad Zakaria, 49, berkata, beliau bersama isteri dan sembilan anak mereka kini menumpang di Pusat Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tiu di sini, sementara mencari rumah sewa baharu yang sesuai dengan kemampuan.

Iklan
Iklan

"Susah nak cari rumah, yang ada semua sewa sekitar RM700 hingga RM800.

"Kami cari yang dalam lingkungan RM400 hingga RM500 sahaja dan belum jumpa, tetapi mujurlah ada pihak yang bantu sementara tinggal di tahfiz ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut Mohamad, beliau mempunyai sembilan anak dan empat daripadanya masih bersekolah, namun kelengkapan mereka musnah dalam kebakaran Khamis lalu.

Katanya, anak-anaknya tetap hadir ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Machang 1 pada Ahad selepas mendapat bantuan pakaian seragam baharu yang diberikan oleh pihak sekolah dan orang ramai.

Iklan

"Semalam cikgu datang hantar baju sekolah.

"Anak darjah enam, darjah empat dan darjah dua pergi ke sekolah hari ini walaupun kami sudah tiada apa-apa lagi,” tambahnya.

Anak-anak dan isteri Mohamad termenung di halaman rumah sewa mereka yang musnah. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Insiden malang itu berlaku ketika mereka sekeluarga berada di kampung di Bukit Merbau, Pasir Puteh bagi menguruskan jenazah ibu Mohamad yang meninggal dunia akibat sakit tua.

"Rumah terbakar ketika kami berada di kampung untuk urusan jenazah ibu saya.

"Apabila dapat tahu rumah musnah, saya pulang ke Machang dan tak sempat nak hantar jenazah untuk dikebumikan. Kami sehelai sepinggang, tiada apa yang tinggal,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Mohamad di Bank Simpanan Nasional Berhad: 0301341000022595.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dalam satu kenyataan berkata, beliau menerima maklumat awal berkenaan insiden tersebut dan segera mengarahkan bantuan kepada mangsa.

"Saya buat keputusan untuk bantu menempatkan mereka di asrama Pusat Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tiu buat sementara waktu kerana mangsa buntu mencari tempat tinggal lain.

"Saya harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada keluarga Mohamad yang sedang berhadapan saat sukar,” katanya.