Sindiket khazanah hutan tumpas, rampasan hampir RM8 juta dalam sebulan

Iklan
Operasi di bawah Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) yang dilaksanakan dari 1 Februari hingga Jumaat menyaksikan pelbagai tangkapan, serbuan serta rampasan besar-besaran melibatkan kenderaan, jentera berat, mesin pemprosesan kayu dan ribuan batang kayu balak serta kayu siap pelbagai spesies.

KOTA BHARU – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Perhutanan membongkar rangkaian jenayah terancang pembalakan haram di Pantai Timur menerusi rampasan keseluruhan mencecah hampir RM8 juta dalam tempoh kurang sebulan.

Operasi di bawah Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Taring Wawasan Kelantan (OTWK) yang dilaksanakan dari 1 Februari hingga Jumaat menyaksikan pelbagai tangkapan, serbuan serta rampasan besar-besaran melibatkan kenderaan, jentera berat, mesin pemprosesan kayu dan ribuan batang kayu balak serta kayu siap pelbagai spesies.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kegiatan jenayah itu dikesan melibatkan pencerobohan hutan simpan, penebangan balak tanpa lesen, pemindahan hasil hutan tanpa permit sah serta operasi kilang kayu haram yang beroperasi secara terselindung di Kelantan dan Terengganu.

“Rampasan pertama pada 8 Februari jam 8.30 malam melibatkan rampasan bernilai RM140,000 di Paloh, Gua Musang.

Iklan

“Batalion 8 PGA telah menahan sebuah lori yang membawa muatan kayu balak dalam keadaan mencurigakan, apabila pemandu lori, seorang lelaki berusia 48 tahun, gagal mengemukakan dokumen pemindahan kayu balak daripada Pejabat Perhutanan dan disyaki membawa hasil hutan yang diambil secara haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PGA bersama Jabatan Perhutanan membongkar rangkaian jenayah terancang pembalakan haram di Pantai Timur menerusi rampasan keseluruhan mencecah hampir RM8 juta dalam tempoh kurang sebulan.

Iklan

Menurut beliau, suspek ditahan di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dengan rampasan melibatkan sebuah lori Isuzu bernilai RM80,000 dan enam batang kayu balak disyaki spesies meranti bernilai RM60,000, menjadikan jumlah rampasan RM140,000.

Ujarnya, dalam operasi susulan di lokasi sama pada hari dan tarikh yang sama, jam 10.30 malam, Batalion 8 PGA menyerbu sebuah ladang di kawasan Ladang Serasa, Paloh.

Katanya, seramai tiga lelaki berusia 32 hingga 46 tahun ditahan ketika sedang memindahkan kayu balak dan disyaki terlibat dalam aktiviti menebang, mengangkut serta menjual hasil hutan tanpa lesen sah.

Tambahnya, rampasan melibatkan sebuah lori Isuzu (RM80,000), sebuah ekskavator Hitachi (RM500,000), sebuah jentolak (RM800,000), sebuah mesin gergaji berantai (RM5,000) serta tujuh batang kayu balak disyaki meranti (RM70,000), dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.455 juta.

“Pada 12 Februari lalu, Batalion 9 PGA bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu sebuah kilang kayu di Dungun, Terengganu.

“Seramai enam lelaki dan seorang wanita berusia 40 hingga 60 tahun ditahan selepas penjaga kilang gagal mengemukakan lesen kebenaran operasi. Rampasan melibatkan empat mesin gergaji jalur (bandsaw), 40 bilah mata gergaji rentas (cross cut blade), dua jengkaut kecil (mini shovel), dua mesin pengasah bilah, 149 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesies serta sebuah lori Hicom, dengan nilai rampasan keseluruhan RM304,470,” katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, pada 22 Februari lalu, Batalion 8 PGA menyerbu sebuah kilang kayu di Kampung Gual Terbok, Mukim Gual Nering, Rantau Panjang.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kayu tidak bercukai di atas mesin gergaji jalur serta di kawasan luar kilang, namun pemilik gagal mengemukakan permit pemindahan kayu.

Ujarnya, seramai empat lelaki termasuk dua warga Thailand berusia 43 hingga 64 tahun ditahan di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Rampasan melibatkan sebuah ekskavator (RM800,000), dua unit gergaji jalur (RM500,000), dua unit gergaji rentas (RM70,000), 1,317 batang kayu bulat (RM500,000) serta 4,287 batang kayu siap (RM1 juta), dengan jumlah keseluruhan rampasan RM2.87 juta.

“Kemuncak operasi berlaku pada Rabu lalu apabila Batalion 8 PGA menyerbu kilang kayu di Ulu Kusial, Tanah Merah. Seramai enam lelaki berusia 24 hingga 60 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan permit pemindahan kayu,” katanya.

Menurut beliau, rampasan melibatkan sebuah ekskavator (RM800,000), lori Daihatsu (RM80,000), dua unit gergaji jalur (RM500,000), dua unit gergaji rentas (RM70,000), mesin pengasah mata gergaji (RM150,000), empat bilah mata gergaji (RM40,000), sebuah gergaji berantai (RM5,000), 2,149 batang kayu bulat (RM900,000) dan 2,670 batang kayu siap (RM450,000).

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini sahaja mencecah RM2.995 juta, tertinggi sepanjang siri operasi.

Ahmad Radzi menegaskan pihaknya akan terus menjalankan operasi secara agresif dan berfokus bagi membanteras jenayah khazanah hutan.

“Kegiatan ini bukan sahaja merugikan negara dari segi ekonomi, malah memberi kesan besar kepada alam sekitar, keselamatan dan kesejahteraan rakyat. PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperdagangkan hasil hutan secara haram,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah hutan bagi membantu pihak berkuasa mengekang pencerobohan dan pemusnahan khazanah negara.