PATTANI - Wilayah Pattani Pattani bukan sahaja menawarkan keindahan budaya dan sejarah tetapi juga mempersembahkan kepelbagaian cita rasa yang menjadikan wilayah ini sebagai destinasi gastronomi yang wajib dikunjungi.
Pattani turut dikenali sebagai bandar indah tiga budaya dengan lebih 40,000 penduduk yang terdiri daripada campuran Melayu, Thai dan Cina.
Namun keganasan dan pergolakan di selatan Thailand sejak 2004 sedikit sebanyak menghalang kedatangan pelancong ke wilayah itu.
Teruja untuk menjejak Pattani, saya mengajak rakan-rakan iaitu Jepp (BMW GSA1200), Azmi (Yamaha MT09) dan Shahril (Yamaha Tracer) untuk ride ke wilayah Islam di selatan Thai itu pada cuti Tahun Baharu Cina yang lalu. Saya sendiri menunggang Yamaha Tracer.
Kami berempat bertolak dari RnR Rawang pada jam 5 pagi. Dua lagi rakan, Nasir (Suzuki Strom 850) dan Mad (Aprilia Caponord 1200) menanti di Pattani kerana mereka masuk melalui Rantau Panjang, Kelantan. Kami pula masuk melalui Betong.
Suasana masih gelap dengan udara sejuk pagi, enjin motosikal berdengung perlahan ketika kami bergerak keluar dari lebuh raya. RnR Tapah menjadi persinggahan pertama untuk meregangkan otot selepas menunggang beberapa kilometer. Rehat seketika memberi tenaga untuk terus ke destinasi seterusnya.
Selepas solat dan sarapan, kami meneruskan perjalanan ke arah Gerik. Lebuh raya agak lancar dan pemandangan kampung serta bukit-bukau menjadi pemandangan yang menenangkan. Kami tiba di kawasan Pengkalan Hulu, Gerik sekitar jam 10 pagi — tepat masa untuk membuat persediaan memasuki sempadan.
Proses imigresen di Betong berjalan lancar. Urusan dokumen dan pemeriksaan berjalan cepat, membolehkan kami memasuki wilayah Thailand dengan segera.
Setibanya di Betong, kami singgah makan tengah hari di Betong Plaza — memilih hidangan tempatan yang mengenyangkan sebelum menyambung perjalanan.
Selepas makan tengah hari, kami meneruskan perjalanan ke Pattani. Kami bertolak dari Betong pada jam 1 petang dan perlu sampai di Pattani selewat-lewatnya jam 5 petang.
"Tak sabar nak meleper kat 100 corners sambil melihat scenic spot seperti jambatan Tok Ku Chae dan kampung tradisi di sepanjang perjalanan," kata Jepp. Shahril seperti biasa hanya tersenyum tanpa banyak bicara. Azmi pula sedang sibuk membetulkan intercom Cardonya.
Laluan 100 corners sejauh 150km bermula dari Betong dan berakhir di Yala. Laluan itu turut dikenali sebagai Route 410, menjadi kegemaran penunggang motosikal dari Malaysia untuk menguji skill dan jentera masing-masing.
Jalan yang berliku itu memerlukan tumpuan yang lebih terutama ketika hujan.
Kami berhenti di Tok Ku Chae Bridge di Bang Lang Dam untuk mengambil gambar dan menikmati pemandangan tasik yang tenang. Jambatan dan panorama empangan memberi latar sempurna untuk rehat singkat serta sesi fotografi, peluang baik untuk merakamkan memori perjalanan.
Kami berhasrat mengambil gambar dari atas, untuk menampakkan keindahan Bang Lang Dam. Malangnya dron yang dibawa Jepp mengalami kerosakan teknikal.
Selepas rehat, perjalanan diteruskan menuju Pattani melalui jalan-jalan utama wilayah itu. Cuaca agak terik. Sempat berhenti rehat sebentar di sebuah gerai durian untuk melepaskan penat.
Wilayah selatan Thai terutamanya di Yala dikawal ketat pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata. Di setiap pelusuk kawasan ada tentera. Sepanjang perjalanan dari Betong ke Pattani, ada lebih kurang 13 hingga 14 pos kawalan tentera.
Ada yang tentera yang menjaga dan ada yang tidak. Mungkin pada waktu yang kritikal memerlukan pengawasan, kawalan tentera menjadi lebih ketat.
Sampai di Pattani sekitar jam 5 petang, kami terus menuju ke The Wood Pattani Hotel. Tak sabar nak masuk bilik.
"Koyak rabak dibuatnya, dah lama tak jalan jauh," kata Azmi.
Malam itu kami merancang untuk makan di Ban Lay Seafood, sebuah restoran terkenal kerana masakannya yang sedap. Malangnya restoran ditutup awal, menyebabkan kami agak kecewa ketika itu.
Akhirnya kami makan malam di sebuah restoran berhampiran hotel, Wiya Coffee. Walaupun bukan restoran yang dirancang, hidangan di situ mengenyangkan dan suasana pula santai.
"Boleh tahan juga rasanya, tempat pun sempoi," kata Shahril. Terima kasih Nasir kerana belanja kami malam itu.
Selesai makan, kami berjalan-jalan di Green Market. Tapak pasar malam agak besar dan meriah dengan jualan pakaian serta makanan tempatan dengan harga yang boleh dikatakan murah.
Jam 11 malam kami balik ke hotel untuk berehat.
Hari kedua
Sebelum bergerak ke Betong, kami sarapan dahulu. Kami memilih sebuah kedai makan berhampiran hotel. Sarapan di Pattani lebih kurang sama dengan Kelantan, banyak nasi berlauk. Harga pun berbaloi. Saya ambil nasi berlauk dengan kopi 0, baru 60 baht. Beza harga di Malaysia.
Selepas sarapan dan check out, kami terus bergerak ke Betong. Kalau masa datang kami berempat, masa balik kami berenam.
"Sekali lagi kita kena menempuh 100 corners. Jenuh meleper ni," kata Jepp.
Kalau semalam panas terik, hari ini sekejap panas sekejap hujan. Perjalanan tetap diteruskan. Singgah sebentar di sebuah gerai di tepi jalan di Yala membeli air tebu untuk menghilangkan dahaga.
Kami sampai di Betong lebih kurang jam 3 petang.Perut pun dah mula berbunyi. Tak sabar nak makan sup keting di Kedai Kah, restoran popular berdekatan Penjara Betong.
Nasib baik ketika kami sampai pelanggan tidak ramai. Tak sah rasanya kalau pergi Betong kalau tak pekena sup keting di sini.
Malam itu kami menginap di Penthouse dan bermula aktiviti bebas. Masing-masing sudah tidak sabar hendak masaj kaki!
Hari ketiga
Masa untuk balik ke Malaysia. Cuaca di Betong agak baik tetapi nampak mendung di kawasan Malaysia. Selepas selesai urusan imigresen, kami singgah di Petronas Pangkalan Hulu untuk penuhkan tangki motosikal masing-masing.
Kami sempat singgah di Restoran Tasik Raban pekena ikan bakar dan air kelapa. Hujan lebat sepanjang perjalanan. Hanya berhenti sekejap untuk mengisi petrol dan meregangkan otot.
Mujur Lebuh Raya PLUS tidak sesak seperti selalu. Kami menunggang mengikut kelajuan nasional kerana permukaan jalan yang licin dan hujan lebat yang menghadkan pandangan.
Alhamdulillah sampai di Klang pada jam 6 petang dalam keadaan selamat. Setiap langkah dalam perjalanan adalah sebahagian daripada cerita yang lebih besar, yang memberi makna kepada destinasi itu sendiri.
Kadang-kadang bukan destinasi yang menentukan sama ada perjalanan itu menyeronokkan atau tidak, tetapi dengan siapa kita pergi.
Pattani Attack, semestinya kami akan datang lagi sekiranya ada peluang dan diizinkan ALLAH SWT.