Pandangan masyarakat sivil perlu diangkat dalam dasar ASEAN - Jerald

Iklan
Jerald

KUALA LUMPUR – Cadangan dan syor daripada masyarakat sivil perlu diketengahkan sebagai jalan penyelesaian kepada pelbagai isu semasa di peringkat ASEAN, termasuk melibatkan rasuah dan korupsi.

Pengarah Pusat Komas Malaysia, Jerald Joseph berkata, peranan masyarakat sivil amat penting dalam menyuarakan pandangan rakyat dan memastikan dasar yang dirangka oleh kerajaan bersifat inklusif serta berkesan dalam menangani isu-isu utama.

Iklan
Iklan

"Kita masyarakat sivil mahu diberi peluang menjadi pemain yang diiktiraf sebagai masyarakat ASEAN, bukan sekadar simbolik.

"Kita harus dijemput sebagai rakan kerjasama dalam mencari penyelesaian dan bukan disisihkan oleh kerajaan di negara-negara ASEAN,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ASEAN Peoples@ASEAN 2025 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Program anjuran Pusat Komas selaku sekretariat itu berlangsung selama dua hari bermula Sabtu.

Menurut Jerald, program tersebut menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 11 negara ASEAN untuk membincangkan pelbagai isu rakyat serantau, termasuk isu rasuah sebagai antara tema utama.

Iklan

"Dalam perbincangan hari pertama, para panel membongkar isu rasuah secara mendalam. Akar umbinya juga dikaitkan dengan isu perubahan iklim – yang ternyata berpunca daripada kegiatan korupsi dalam dunia perniagaan.

Salah seorang panel, Lukas Straumann (kiri) berucap semasa sesi perbincangan isu korupsi dalam program ASEAN Peoples@ASEAN 2025 di Wisma MCA pada Sabtu.

"Turut disentuh ialah dakwaan campur tangan pihak tertentu terhadap media,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemahaman lebih mendalam terhadap isu-isu tersebut penting bagi membolehkan perbincangan menjurus kepada pembentukan dasar tadbir urus yang lebih baik.

Sebanyak 18 tema perbincangan telah dibawa dalam program itu, termasuk perubahan iklim, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dan hak asasi manusia.

"Ramai kini sedar bahawa menangani satu isu sahaja tidak mencukupi. Kita perlu menangani tadbir urus secara menyeluruh.

"Kerajaan yang bersih bukan hanya pada nama, tetapi juga perlu membuktikan kekuatan pelaksanaan undang-undang.

"Tiada gunanya ada perundangan baik jika institusi seperti badan kehakiman atau suruhanjaya tidak bebas,” tegasnya.