SEOUL - Seorang wanita warga emas akhirnya dipertemukan semula dengan anak perempuannya yang hilang sejak 44 tahun lalu, selepas diculik dan dihantar secara haram ke Amerika Syarikat.
Kim Kyung-ja, 81, tidak pernah berhenti berharap untuk bertemu semula dengan anaknya, Yoo Hoo-sik, yang diculik pada tahun 1976 ketika berusia lima tahun.
Insiden itu berlaku ketika Hoo-sik sedang bermain di luar rumah. Sejak itu, tiada sebarang jejak ditemui, dan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes itu sebagai kanak-kanak hilang.
Namun, kebenaran yang terbongkar baru-baru ini amat mengejutkan. Hoo-sik sebenarnya telah dipalsukan identitinya dan dihantar ke luar negara untuk diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga di Amerika Syarikat.
Hoo-sik, yang kini berusia 49 tahun dan bekerja sebagai jururawat di Las Vegas, Nevada, menggunakan nama baharu, Steve Hoo-sik Hyams.
Dia hanya mengetahui kisah sebenar setelah menyertai siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Kebenaran Kebangsaan Korea Selatan.
"Saya diberitahu bahawa ibu kandung saya tidak mahukan saya dan telah menyerahkan saya kepada keluarga angkat. Saya mempercayai pembohongan itu sepanjang hidup saya,” katanya.
Pertemuan semula antara ibu dan anak itu berlangsung di Seoul pada awal minggu ini dalam suasana penuh emosi dan tangisan.
"Saya cabut semua kuku kaki saya sambil mencari kamu. Tapi sekarang semuanya sudah tumbuh semula,” kata Kyung-ja sambil menggenggam tangan anaknya.
Suruhanjaya tersebut mendedahkan bahawa Hoo-sik merupakan antara lebih 370 kanak-kanak Korea Selatan yang disahkan ‘hilang’ tetapi sebenarnya telah diperdagangkan sebagai anak angkat ke luar negara melalui penipuan dokumen.
Kyung-ja kini menuntut keadilan dan mahu kerajaan Korea Selatan bertanggungjawab terhadap kehilangan serta penderitaan yang dialaminya selama lebih empat dekad. - Agensi