Rujuk e-Taib, bukan ChatGPT atau Google soal hukum ibadah haji

Iklan
Sejak 2 Mei lalu lebih kurang 4,000 pertanyaan diterima melalui e-Taib dan golongan wanita paling ramai mengemukakan soalan. (Gambar kecil: Salmah Sheikh Hassan)

MAKKAH – Jemaah haji diminta tidak menggunakan aplikasi chat GPT atau carian Google jika ingin mendapatkan jawapan mengenai kemusykilan berkaitan hukum-hakam serta perjalanan haji untuk memastikan ibadah itu diterima.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas), Salmah Sheikh Hassan berkata, sebaliknya jemaah boleh bertanya secara langsung kepada pembimbing ibadat haji atau melalui aplikasi e-Taib (Talian Ibadat) yang boleh diakses terus menerusi platform TH Hujjaj.

Iklan
Iklan

Menurutnya, e-Taib menyediakan khidmat perbualan langsung bersama Pihtas untuk menjawab persoalan jemaah secara dalam talian tanpa perlu bersemuka, khususnya bagi mereka yang malu bertanya atau segan berjumpa pembimbing secara fizikal.

"Kadang-kadang ada jemaah yang segan nak bertanya depan-depan. Dengan e-Taib ni, mereka boleh terus bertanya dalam aplikasi.

Iklan

"Kalau mereka tak faham infografik atau info dalam TH Hujjaj, mereka boleh terus tanya dengan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriyah di sini.

Salmah yang juga Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam (Syariah) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, ketika ini, e-Taib beroperasi selama 18 jam sehari dan tempohnya akan dipanjangkan kepada 24 jam seminggu sebelum operasi masyair iaitu kemuncak ibadah haji.

Iklan

"Antara soalan popular yang kerap ditanya menerusi aplikasi e-Taib termasuk isu berkaitan haid, larangan ihram dan dam.

"Malah ada jemaah yang sedang berada di dalam Masjidil Haram dan berasa ragu-ragu ketika melakukan tawaf terus menghubungi kami melalui aplikasi ini untuk mendapatkan jawapan mengenai kemusykilan mereka,” katanya.

Sejak 2 Mei lalu, katanya, lebih kurang 4,000 pertanyaan diterima melalui e-Taib dan golongan wanita paling ramai mengemukakan soalan.

Tambahnya, e-Taib boleh diakses dan digunakan di mana-mana sahaja, sama ada jemaah berada di Makkah, Madinah atau di Malaysia.

Ujarnya, setiap pertanyaan daripada jemaah akan dijawab dalam tempoh satu ke dua minit jika capaian internet tidak bermasalah.

"Daripada maklumbalas yang kami terima, ramai jemaah bersyukur kerana aplikasi ini sangat membantu mereka melaksanakan ibadah haji dengan betul dan tepat. Dengan adanya panduan yang jelas, kita doakan semoga semua memperoleh haji yang mabrur, insya-ALLAH.

"Pihtas memang bertungkus-lumus sampaikan ceramah dan taklimat kepada jemaah haji tetapi dengan adanya e-Taib, ia sangat membantu kurangkan beban Pihtas untuk jawab soalan di maktab atau zon kerana jemaah boleh rujuk terus secara dalam talian.

"Namun apa yang saya lihat kebanyakan jemaah sudah bersedia dengan pengetahuan hasil kursus asas haji selama 14 minggu di tanah air ditambah pula dengan kursus intensif dan kursus perdana haji sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya.

Dalam pada itu, Salmah berkata, beliau dan rakan-rakan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan e-Taib amat terharu kerana diberi kepercayaan besar oleh TH.

"Kami juga ada pakar rujuk untuk berbincang dan cari penyelesaian kukuh jika ada isu-isu yang sukar kami jawab.

"Ini amanah besar. Bila kita jawab, kita bukan main-main. Ini soal ibadat, soal sah atau tidak ibadah seseorang. Ini juga jihad kami sebagai petugas di Tanah Suci. Kami akan buat yang terbaik, insya-ALLAH,” katanya.