Anwar pertahan lanjutan kontrak Azam Baki

Iklan
Azam Baki

JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dibuat atas dasar keyakinan terhadap keberanian beliau dalam memerangi rasuah secara tegas dan menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun keputusan itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang, beliau tetap berpegang kepada pendirian bahawa Azam telah menunjukkan ketegasan yang luar biasa dalam membanteras rasuah, termasuk terhadap individu berprofil tinggi.

Iklan
Iklan

"Saya percaya, melihat kepada perkembangan SPRM selama puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua ‘tauke besar’.

"Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan rakan-rakan dalam Kabinet, boleh sahaja ganti esok, tetapi saya tidak yakin pengganti itu akan cukup berani menyinggung 'tauke besar' yang memiliki kekayaan berbilion ringgit,” katanya.

Iklan

Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, malam tadi.

Tambah beliau, SPRM kini mengambil tindakan tegas terhadap individu berpangkat tinggi termasuk yang bergelar Datuk Seri, Tan Sri dan Tun, menunjukkan komitmen baharu agensi itu dalam menegakkan integriti pentadbiran.

Iklan

Justeru itu, Perdana Menteri menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada SPRM untuk melaksanakan tugas tanpa diganggu atau disalah tafsir.

"Bagi ruang kepada Azam. Sementara itu, kita cari pengganti yang benar-benar kita yakin berani. Peralihan akan berlaku dalam kepimpinan SPRM,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan bahawa pelantikan semula Azam adalah bagi tempoh setahun, berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026, dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. – Bernama