MELAKA - Lebih 1,000 peserta memeriahkan Jelajah Iftar Ramadan Sinar Mydin yang berlangsung di Mydin MITC di sini pada Khamis.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin dengan kerjasama Sinar Harian bagi menyantuni masyarakat serta berkongsi rezeki sempena Ramadan.
Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat sokongan rakan penaja utama seperti Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Akademi Kenegaraan Malaysia, Cadbury, Indra Valley, Lifebuoy, Maggi, Subi di bawah jenama Pacific West, Sunsilk dan Vaseline.
Seawal jam 5 petang, orang awam telah hadir bagi proses pendaftaran sebelum diisi dengan slot bacaan al-Quran oleh Mahad Tahfiz Darul Huda serta Motivasi Ramadan dari Aniq Muhai sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Program disusuli Penyerahan Sumbangan Mydin Prihatin dan penyerahan Baju Raya Boost Bank kepada pelajar Mahad Tahfiz Darul Huda.
Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim yang diiringi Pengurus Kawasan Mydin MITC, R Apparavoo; Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin; Pengurus Besar Pacific West, Joseph Lim serta Ketua Jualan dan Pemasaran Indra Valley, Rooban Palani.
Mydin MITC Melaka merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah berkenaan selepas Subang Jaya (Selangor) dan Mutiara Rini (Johor). Program tersebut akan diteruskan ke Seremban 2 (Negeri Sembilan), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Meru Raya (Perak), Tunjong (Kelantan), Jengka (Pahang) dan Sejati Ujana (Sabah).
Adam Adli ketika ditemui berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan penganjuran program seumpama itu dan berharap ia dijadikan peluang kepada masyarakat setempat untuk turut serta berbuka bersama sekali gus merapatkan silaturrahim.
“Difahamkan lebih 1,000 orang turut serta dalam program ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyokong penganjurannya.
“Dalam bulan Ramadan ini, kesederhanaan adalah yang paling digalakkan. Program seperti ini wajar diteruskan dan jika ingin ditambah baik, jumlah peserta boleh ditingkatkan namun pastinya memerlukan tambahan dana,” katanya kepada Sinar Harian.
Ke arah itu beliau berharap lebih ramai rakan strategik dan penaja tampil memberi sokongan program berkenaan.
“Mungkin juga kita boleh membawa bersama vendor dan peniaga tempatan supaya dapat menawarkan keunikan setiap negeri.
“Saya juga tidak menolak dan bersedia bekerjasama dengan lebih rapat pada masa hadapan,” katanya.
Subi sedia peruntukan RM15,000 setiap lokasi
Subi di bawah Pacific West meneruskan komitmen menyertai siri Jelajah Iftar Ramadan Sinar Mydin kali kedua dengan menyediakan peruntukan sekitar RM15,000 bagi setiap lokasi penganjuran.
Joseph berkata, jika tahun lalu syarikat itu terlibat di lima lokasi, tahun ini pihaknya menyertai enam lokasi sebagai inisiatif menjayakan program amal jariah sempena Ramadan iaitu bulan berkongsi rezeki.
“Penyertaan pada program ini menunjukkan komitmen syarikat yang bukan sahaja untuk memperkukuh pasaran jenama, tetapi juga untuk menyumbang kepada masyarakat terutama dalam bulan penuh keberkatan.
“Sempena Ramadan ini saya mengucapkan selamat berbuka puasa kepada seluruh umat Islam khususnya yang menyertai program ini serta berharap cuaca baik agar acara dapat berlangsung lancar,” katanya.
Ujarnya, Pacific West merupakan syarikat pengilang makanan laut sejuk beku seperti kepingan ikan, sotong cincin dan udang bersalut tempura telah beroperasi di Malaysia selama 26 tahun dengan kilang berpusat di Pulau Pinang.
Menurut Joseph, produk di bawah jenama Pacific West dan Subi dipasarkan secara meluas di pasar raya termasuk rangkaian Mydin di seluruh negara.
“Selain pasaran domestik, syarikat turut mengeksport ke 31 negara dengan jualan terbesar di Australia, diikuti Malaysia dan Jerman di tempat ketiga.
Tahun ketiga Indra Valley sertai Jelajah Iftar Ramadan Sinar Mydin
Syarikat pengeluar beras basmathi, Indra Valley, meneruskan komitmen menyertai jelajah itu buat tahun ketiga berturut-turut sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat yang menyokong produknya.
Rooban berkata, penyertaan itu merupakan sebahagian daripada usaha menyumbang semula kepada komuniti khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, sepanjang Ramadan kali ini pihaknya telah menyumbangkan hampir 5,000 pek beras bagi penyediaan nasi briyani untuk diagihkan kepada masyarakat.
“Kami sebagai sebuah syarikat tempatan mahu menyumbang kembali kepada masyarakat dan memaklumkan bahawa kami sentiasa menyokong mereka, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.
“Indra Valley yang telah beroperasi di Malaysia sejak 10 tahun lalu kini memasarkan produk beras basmathi di kebanyakan pasar raya utama di seluruh negara dengan Mydin merupakan rangkaian pasar raya pertama yang membawa masuk produk Indra Valley Basmathi ke pasaran.
“Disebabkan itu kami sentiasa menyokong program dan acara yang dianjurkan Mydin seperti ini. Bagi siri jelajah kali ini, Indra Valley terlibat di lima lokasi bermula di Mydin USJ (Selangor), diikuti Mutiara Rini (Johor), Mydin MITC Melaka, seterusnya minggu depan me Meru Raya (Ipoh) dan Bukit Mertajam (Pulau Pinang)," katanya.