MUAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima isyarat positif bagi pendaftaran murid berumur enam tahun untuk kemasukan Tahun Satu sesi persekolahan 2027, apabila hampir 50,000 permohonan diterima di seluruh negara setakat ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sejak permohonan pendaftaran dibuka dua minggu lalu, Johor muncul sebagai negeri yang merekodkan jumlah pendaftaran antara yang tertinggi.
Menurut beliau, perkembangan itu mencerminkan tahap kesedaran dan sokongan ibu bapa terhadap perancangan pendidikan awal kanak-kanak, selaras dengan hala tuju transformasi pendidikan negara Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
"Johor menjadi antara negeri tertinggi dari segi pendaftaran, ini menunjukkan ibu bapa bersedia dan percaya kepada sistem yang sedang dilaksanakan.
“Kita sasarkan sehingga 700,000 pendaftaran jika semua memilih untuk menyertai.
"Tempoh pendaftaran masih dibuka sehingga 31 Mac dan selepas itu kita masih bersedia membantu ibu bapa yang ingin mendaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jaulah Ramadan Menteri Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad, di sini, pada Khamis.
Tambahnya lagi, pendaftaran Tahun Satu sesi 2027 bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya sebahagian daripada pelaksanaan RPM yang memberi penekanan kepada kualiti pendidikan dan pembangunan murid.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga mempergiatkan pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan (Tekad) yang menjadi teras utama pelaksanaan RPM.
Menurut Fadlina, Tekad merupakan gerakan bersepadu yang dilaksanakan menerusi pelbagai bentuk pengisian ssesi libat urus, dialog bersama ibu bapa dan guru, selain penganjuran karnival pendidikan di seluruh negeri.
“Tekad dijayakan bersama ibu bapa, guru, komuniti dan anak-anak bertujuan memastikan mesej RPM sampai kepada masyarakat dan difahami secara menyeluruh.
“Kita mahu rakyat tahu tentang sasaran wajib capai dalam tempoh 10 tahun, apakah manfaatnya kepada murid dan guru serta bagaimana mereka boleh memainkan peranan,” katanya.
Mengulas mengenai program Jaulah, Fadhlina berkata ia dianjurkan bagi memperkukuh hubungan antara warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan masyarakat setempat, di samping menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan.
Menurut beliau, program itu dirangka dengan menggabungkan elemen kerohanian, kebajikan dan pendidikan, sekali gus bertujuan memberi manfaat serta impak positif kepada semua lapisan masyarakat.