4,170 kilang haram dikesan di Selangor

Iklan
Suee Lim (duduk depan tiga dari kanan) semasa sidang media di MTES Bangunan SSAAS di Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Sebanyak 4,170 premis kilang tanpa kebenaran (KTK) telah dikenal pasti beroperasi secara haram di seluruh Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, jumlah itu adalah hasil kemas kini yang dilakukan oleh Jawatankuasa Khas KTK.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, jumlah itu menunjukkan pengurangan berbanding lebih 6,000 premis yang direkodkan sebelum ini.

"Ini merupakan angka yang tepat selepas kita jalankan pemutihan data secara menyeluruh dan ia juga menjadi asas kepada pelaksanaan program pemutihan KTK selama tiga tahun bermula dari 2024 hingga 2027,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat STENKO KTK di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Jumaat.

Suee Lim berkata, program pemutihan itu akan menggunakan pendekatan dua hala menerusi insentif dan tindakan.

Iklan

"Antara tawaran khas termasuk diskaun 30 peratus bagi premium tanah, caj kemajuan dan Dana Penambahbaikan Perkhidmatan (ISF).

"Kita mahu bantu pengusaha KTK beroperasi secara sah tapi dalam masa sama penguatkuasaan akan dijalankan ke atas mereka yang enggan tampil,” jelasnya.

Setakat ini jelasnya, sebanyak 90 Notis Penguatkuasaan 7A telah dikeluarkan dengan sasaran 500 notis menjelang Julai depan.

"Notis ini bertujuan mengarahkan pemilik memulihkan tanah yang disalah guna contohnya kilang yang dibina atas tanah pertanian," tambah beliau.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah mengenal pasti dua daerah iaitu di Klang dan Petaling untuk tindakan penguatkuasaan yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kelulusan.

"Sebanyak 17 kilang di Klang dan 51 kilang di Petaling dibina atas tanah kerajaan termasuk rizab jalan.

"Antara jenis premis KTK yang dikenal pasti termasuk kilang perabot, bengkel membaiki jentera, stor lori, bengkel aluminium dan stor penyimpanan jentera berat seperti forklift," kata beliau.

Suee Lim turut mengingatkan tawaran itu merupakan peluang terakhir bagi pengusaha KTK untuk tampil dan menyertai proses pemutihan.

"Kerajaan negeri bersikap adil kepada semua pihak dan tidak wajar kilang sah beroperasi di kawasan industri dan mematuhi peraturan terus tertekan oleh pengusaha haram yang tidak patuh,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor menggesa semua pengusaha KTK tampil untuk berbincang dengan pejabat tanah atau pihak berkuasa tempatan bagi menyertai program pemutihan berkenaan.

"Kita beri peluang dan kelonggaran, tetapi jika mereka masih enggan, tindakan undang-undang akan diambil.

"Ini bukan soal menyusahkan, tetapi memastikan keadilan kepada pengusaha sah dan menjaga kelestarian pembangunan negeri,” tegas beliau.