Yayasan Kubra rancang projek rumah asnaf di tapak bekas kuil

Iklan
Yayasan Kubra telah melaksanakan tindakan pembersihan binaan haram di tapak tanah milik berdaftarnya di Rawang Perdana pada Rabu.

RAWANG - Yayasan Kubra merancang membangunkan projek rumah asnaf di tapak bekas kuil Hindu di Rawang Perdana yang dirobohkan pada Rabu.

Aktivis Yayasan Kubra, Ariff Omar berkata, pembangunan rumah asnaf memang menjadi perancangan asal pihaknya dan akan diteruskan selepas isu tanah diselesaikan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Konsepnya bukan sekadar rumah biasa, tetapi lebih kepada pusat pemulihan dan bimbingan, namun skalanya bersesuaian dengan keadaan tanah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ariff berkata, tanah di kawasan itu membabitkan tiga lot dengan setiap satu berkeluasan kira-kira 0.4 hektar.

Iklan

Beliau berkata, projek itu menyasarkan golongan asnaf dan individu yang berdepan masalah sosial untuk dibimbing dalam tempoh tertentu sebelum kembali berdikari.

"Kita mahu melaksanakan konsep seperti pusat pemulihan yang mana mereka akan ditempatkan selama enam bulan hingga setahun dengan bimbingan dan tarbiah.

Iklan

"Apabila sudah pulih dan bersedia, mereka akan kembali kepada masyarakat dan berdikari," ujarnya.

Beliau berkata, yayasan itu sebelum ini turut mengendalikan operasi kebajikan di Taman Permata, Kuala Lumpur yang menempatkan golongan memerlukan termasuk wanita yang berdepan masalah sosial.

Mengulas pengurusan tapak selepas perobohan, Ariff berkata, Yayasan Kubra mengambil langkah susulan termasuk memasang papan tanda larangan pencerobohan.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pihaknya belum bercadang menempatkan pengawal keselamatan di kawasan berkenaan berikutan faktor kos.

"Kita juga akan turun semula ke tapak, mungkin hujung minggu ini atau minggu depan untuk kerja-kerja pembersihan kerana gotong-royong sebelum ini dibuat dalam keadaan hujan dan belum sempat dibersihkan sepenuhnya.

"Kita akan letak papan tanda dahulu sebagai amaran pencerobohan selain memasang pagar jenis ‘folding’ atau kaedah lain untuk mengawal tanah itu selain membincangkan perkara ini dalam mesyuarat," jelas beliau.

Beliau berkata, papan tanda amaran sudah ditempah dan dijangka dipasang sama ada minggu ini atau minggu depan.

"Mesyuarat juga dijadual diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan keperluan kawalan tambahan di tapak tersebut," tambahnya.

Terdahulu, Tayasan Kubra melaksanakan tindakan pembersihan binaan sebuah kuil Hindu di tanah itu setelah tamat tempoh masa yang diberikan sehingga jam 11.59 malam Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan, kawasan itu merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 lagi.