SHAH ALAM - Kerajaan dicadang supaya mengadakan perjumpaan dalam kalangan pemimpin agama bagi meredakan ketegangan yang tercetus sejak akhir-akhir ini.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, usaha ini penting supaya dapat mengelak insiden sama berulang.
Ahli Parlimen Bangi itu turut menegaskan, beliau memandang serius tindakan seorang pelajar sebuah universiti yang menghina agama Islam sehingga mencetuskan kemarahan ramai ketika ini.
“Sebagai seorang Muslim dan juga wakil rakyat yang mewakili rakyat berbilang bangsa, saya mengutuk keras tindakan yang melampau ini.
“Dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama, adalah penting bahawa keharmonian di kalangan rakyat dijaga.
“Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan, dan sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial, gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam.
Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW.
Berikutan itu, seorang penuntut berusia 21 tahun direman empat hari sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan.
Syahredzan dalam masa sama turut menggesa kerajaan terutama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perpaduan untuk merangka lebih banyak program melibatkan golongan muda pelbagai bangsa dan agama.
Beliau berkata, sifat saling menghormati dan kebersamaan mesti dipupuk sejak awal lsupaya insiden sedemikian tidak berulang.
“Hanya dengan keamanan, barulah kita boleh terus mengecapi kemakmuran. Jangan biarkan api kemarahan dan kebencian membakar negara,” ujarnya.