SHAH ALAM - Kenaikan had umur persaraan kepada 65 tahun mampu membantu menangani masalah kekurangan tenaga kerja serta menjamin kestabilan simpanan kewangan warga emas.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, namun ia harus dilaksanakan secara berperingkat seiring dengan dasar-dasar kerja yang fleksibel bagi memastikan hak dan kepentingan pekerja terus dilindungi.
"Menaikkan had umur bersara juga tepat pada masanya untuk menangani fenomena penuaan populasi negara serta ketidakseimbangan struktur dalam pasaran tenaga kerja Malaysia.
"Umur persaraan di bawah Seksyen 60 Akta Kerja 1955, iaitu 60 tahun sudah tidak sesuai dalam keadaan semasa.
"Malah, Jabatan Perangkaan menjangka bahawa menjelang 2030, populasi warga emas negara (65 tahun ke atas) akan mencecah 14 peratus.
"Oleh itu, kenaikan had umur bersara akan membantu memastikan produktiviti berterusan," katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan untuk mengkaji semula had umur persaraan wajib yang ditetapkan pada usia 60 kepada 65 tahun kerana ramai individu pada usia itu masih sihat dan berpengalaman.
Menurutnya, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan usia 60 tahun kini dianggap masih muda oleh kebanyakan negara.
Tambah Yee Fung, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut melaporkan sebelum ini, simpanan purata pencarum berumur 60 tahun adalah RM228,000.
"Justeru, pelanjutan ini juga akan memastikan jaminan kewangan warga emas. Selain itu, kajian Bank Dunia juga mendapati bahawa kenaikan had umur bersara boleh mengurangkan kadar kemiskinan warga emas sekurang-kurangnya lapan ke lima peratus.
"Namun begitu, kerajaan disaran mengambil kira kesan-kesan daripada langkah ini dan menggubal dasar-dasar bersesuaian untuk memastikan peluang pekerjaan golongan belia tidak terjejas serta kos operasi tidak menaik secara mendadak," katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut wajar melaksanakan skim persaraan yang membenarkan pesara bertukar menjadi pekerja separa masa atau konsultan bagi memastikan adanya peluang pekerjaan bagi orang muda.
Ujarnya, kerajaan juga disaran memberi insentif kepada syarikat yang mengupah warga emas.
"Semua langkah ini telahpun dilaksanakan negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Jepun yang juga berhadapan fenomena penuaan.
"Oleh itu, kerajaan bolehlah mengkaji kebolehlaksanaan cadangan ini.
"Kerajaan boleh bermula dengan penjawat awam yang mengalami kekurangan tenaga kerja seperti guru dan petugas kesihatan seterusnya diperluaskan secara berperingkat sepanjang tempoh lima tahun bagi mengurangkan kesan ketara serta memastikan pembangunan mampan pasaran tenaga kerja negara," katanya.