NEW DELHI - Sebuah pesawat komersial IndiGo yang membawa 227 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, Delhi ke Srinagar terpaksa mengisytiharkan kecemasan di udara selepas bahagian hadapan pesawat itu rosak teruk akibat ribut hujan batu dan dipercayai turut terkena hentaman burung, pada Rabu.
Insiden cemas itu berlaku ketika penerbangan separuh jalan menuju Srinagar apabila pesawat jenis Airbus A321 yang mengendalikan laluan 6E2142 terperangkap dalam cuaca buruk melibatkan hujan batu bersaiz besar hingga menyebabkan berlakunya gelora udara kuat yang menggoncang pesawat.
Ketika pesawat masih bergelut dengan keadaan itu, sekumpulan burung dipercayai melanggar bahagian depan pesawat menyebabkan kerosakan besar pada 'hidung' pesawat atau ‘radome’.
Situasi tersebut menyebabkan juruterbang bertindak pantas mengisytiharkan kecemasan kepada Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) di Srinagar sebelum melakukan pendaratan kecemasan.
Menurut laporan media tempatan, pesawat berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Srinagar sekitar jam 6.30 petang waktu tempatan.
Salah seorang penumpang, Owais Maqbool, yang turut berada dalam penerbangan itu menyifatkan pengalaman tersebut sebagai detik mencemaskan dan ibarat menghampir maut.
Dalam hantaran di platform X, beliau menulis bahawa terdapat jeritan dan suasana panik dalam kabin apabila pesawat mengalami gegaran kuat dan semua penumpang ketakutan.
Rakaman video dari dalam kabin yang kini tular di media sosial turut menunjukkan para penumpang membaca doa dan menenangkan antara satu sama lain ketika gegaran kuat berlaku.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh IndiGo, kru penerbangan telah mengikut semua prosedur kecemasan yang ditetapkan dan pesawat berjaya dikendalikan sehingga mendarat dengan selamat.
Pihak lapangan terbang kemudiannya memberi bantuan segera kepada semua penumpang bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.
Pesawat terbabit kini diletakkan dalam status ‘Aircraft on Ground’ (AOG) dan akan menjalani pemeriksaan serta penyelenggaraan lanjut sebelum dibenarkan beroperasi semula.
Insiden ini mencetuskan perbincangan baharu mengenai keselamatan penerbangan dalam cuaca ekstrem, termasuk risiko pelanggaran burung atau ‘bird strike’ yang sering berlaku terutamanya ketika pesawat mendaki atau mendarat.
Menurut data tahun 2022, lebih 1,400 insiden pelanggaran burung dilaporkan di United Kingdom sahaja, walaupun kebanyakannya tidak menyebabkan kerosakan besar. Dalam kes yang jarang berlaku, seperti kejadian ini, pelanggaran burung boleh menyebabkan kerosakan pada enjin atau struktur pesawat yang membawa risiko kepada nyawa penumpang.
Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dan semua penumpang selamat. Pihak berkuasa penerbangan India dijangka akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini.-Agensi