KUALA LUMPUR - Sindiket pemalsuan dokumen yang berselindung di sebalik sebuah kedai menjual jam dan studio foto terbongkar selepas dua beranak ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di premis berkenaan di Chow Kit di sini, pada Selasa.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, Operasi Serkap itu dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh 15 anggota dan pegawai imigresen dari Unit Perisikan dan Sektor Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur.
"Kedua-dua lelaki berusia 34 dan 60 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JIM Kuala Lumpur.
Wan Mohammed Saupee berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen seperti E-Pass Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), i-Kad JIM serta kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang ditawarkan kepada warga asing.
"Mereka menjalankan kegiatan ini di sebuah premis yang kononnya beroperasi sebagai kedai jam dan studio foto, namun sebenarnya menawarkan perkhidmatan pemalsuan dokumen,” katanya.
Tambah beliau, pelanggan hanya perlu menghantar gambar ukuran pasport serta membuat bayaran antara RM60 hingga RM140, dan dokumen tersebut akan disiapkan dalam tempoh satu hari.
"Kami turut merampas 50 slip E-PLKS palsu, 100 kad mentah bercip yang belum diproses, mesin pencetak kad, mesin fotostat, komputer dan komputer riba, mesin cetakan, pelekat hologram serta wang tunai sebanyak RM4,000,” ujarnya.
Menurut beliau, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 55D dan Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63.
"Kedua-dua suspek telah dibawa ke pejabat Sektor Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya.