Rumah pempengaruh Kak Na etak salai terbakar

Iklan
Sarini (kiri) san Sabri (kanan) menunjukkan etak yang sedang disalai turut rosak akibat terbakar. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Pempengaruh etak salai dari Pengkalan Chepa yang dikenali sebagai Kak Na menggigil hampir rebah apabila dimaklumkan rumah sewanya yang juga lokasi utama menyalai etak di Kampung Kedai Buloh, di sini, terbakar pada Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Kak Na, atau nama sebenarnya Sarini Mahmud, 49, baru sahaja membuka gerai jualan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum didatangi rakannya yang menunjukkan rakaman video rumahnya terbakar.

Iklan
Iklan

"Sekitar jam 12 lebih, saya baru buka kedai selepas dihantar oleh anak sepupu. Dalam setengah jam, orang ramai mula datang, saya kalut membungkus etak. Tiba-tiba kawan datang beritahu rumah terbakar dan tunjuk video... saya pucat lesi, rasa nak pengsan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Keadaan rumah yang hangus dalam kebakaran. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurutnya, walaupun terkejut, dia tetap menggagahkan diri membungkus baki etak sebelum mendapatkan bantuan anak sepupunya untuk pulang ke rumah.

Iklan

"Masa sampai rumah, tengok pun dah tak boleh buat apa. Semua kelengkapan dan pakaian hangus,” katanya lagi.

Sementara itu, anak sepupunya, Sabri Yusof, 24, yang juga pemilik perniagaan etak salai, berkata, rumah berkenaan telah disewa dan dijadikan tempat utama memproses serta menyimpan bekalan etak sejak beberapa tahun lalu.

Iklan

Katanya, kejadian disedari selepas dihubungi sepupunya, Mohamad Saifudin Dolah, 15, yang berada di rumah ketika kejadian.

"Ketika itu dia sedang menyalai tiga guni etak menggunakan dapur arang, kemudian keluar sebentar untuk minum. Jiran kemudian memanggil dan memaklumkan api mula marak dari bahagian luar rumah, dipercayai berpunca daripada letupan kompresor pendingin hawa yang dipasang pada dinding kayu,” katanya.

Sabri berkata, rumah jenis kayu itu tidak dapat diselamatkan termasuk tiga peti sejuk dan kesemua bekalan etak.

"Sebanyak 680 kilogram etak musnah dalam kebakaran ini termasuk 14 guni dalam peti sejuk dan tiga guni yang sedang disalai.

"Hanya tiga guni yang sempat disalai dan dihantar ke tapak jualan sebelum kejadian. Kami mengalami kerugian kira-kira RM10,000 hasil jualan dua hari dan modal hampir RM4,000,” jelasnya.

Etak terbakar dan sudah tidak boleh dijual. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Sabri, etak yang disalai itu tidak lagi boleh dijual kerana dikhuatiri tercemar dan boleh menyebabkan keracunan.

"Ini kali kedua kami menyalai etak hari ini dan etak baharu sebanyak 20 guni baru sahaja sampai malam tadi,” katanya.

Tambahnya lagi, Kak Na merupakan duta perniagaan mereka sejak dua tahun lalu dan menjadi punca utama etak salai tersebut menjadi tular sejak November 2024.

Sabri melihat kenderaan miliknya yang hangus terbakar. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

"Biasanya kami jual tujuh guni sehari bermula jam 12.30 tengah hari di dua lokasi tetap termasuk berhampiran lapangan terbang dan kawasan Badang.

"Rumah ini kami sewa sejak beberapa tahun. Saya juga baru sahaja beli kereta Toyota Vellfire sebulan lalu yang turut musnah dalam kebakaran, bersama sebuah motosikal Yamaha RS.

"Awal tahun ini kami beli Toyota Alphard, pun hangus dan meletup tak sempat diselamatkan. Hanya tinggal Naza Citra yang kami gunakan untuk bawa etak ke tempat jualan,” ujarnya.

Sabri menganggarkan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM200,000.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.03 tengah hari.

Katanya, seramai 27 anggota dari BBP Kota Bharu dan Pengkalan Chepa dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh lapan kilometer di Jalan Kuala Besar, Kampung Kedai Buloh.

"Sebaik tiba 14 minit kemudian, operasi pemadaman dijalankan menggunakan empat aliran air dari tangki jentera.

"Kebakaran melibatkan rumah jenis sementara kekal, musnah 95 peratus dan turut melibatkan dua kenderaan pelbagai guna,” katanya.

Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 1.28 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.12 petang.

"Tiada mangsa terlibat dan keadaan dilaporkan selamat serta terkawal,” katanya.